TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'KJ tu hebat ke?' - Ibrahim Ali selar usaha bawa pulang KJ ke UMNO, sifatkan sekadar ‘kosmetik politik’

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 16 Mac – Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Ibrahim Ali menyelar cadangan membawa semula bekas pemimpin UMNO seperti Khairy Jamaluddin dan Hishammuddin Hussein melalui inisiatif “Rumah Bangsa”.

Beliau yang juga bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, langkah berkenaan disifatkan sekadar “kosmetik politik” dan tidak mampu memulihkan keyakinan rakyat terhadap parti itu.

Ibrahim turut mempersoalkan kredibiliti Khairy atau lebih dikenali sebagai KJ dengan membangkitkan semula isu “Tingkat 4” yang pernah dikaitkan dengan pengaruh menantu bekas Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi ketika pentadbirannya.

"Hebat ke KJ itu? KJ Tingkat 4, rakyat dan saya tidak lupa. Saya Melayu yang tidak pernah lupa.

"KJ jika tidak kerana menantu perdana menteri, mungkin ketua cawangan pun sukar menang. Dah jadi menteri pun kalah PRU (pilihan raya umum). DJ radio bukan pejuang politik," sindirnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ibrahim, populariti yang bersandarkan hiburan tidak akan membantu UMNO kerana orang Melayu memerlukan “pejuang bangsa” yang tulen untuk mengembalikan sokongan.

Beliau turut mengemukakan beberapa “soalan cepu emas” kepada kepimpinan UMNO bagi membuktikan sama ada parti itu benar-benar mahu melakukan perubahan atau sekadar mahu kembali berkuasa.

“Adakah keyakinan rakyat terhadap Umno runtuh kerana kekurangan tokoh, atau kerana krisis integriti yang melanda kepimpinan parti itu sendiri?” katanya.

Ibrahim turut mendakwa imej UMNO sebagai parti “kleptokrasi” masih melekat dalam kalangan rakyat, terutama apabila presidennya, Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berdepan 47 kes prima facie sebelum diberikan keputusan melepas tanpa dibebaskan (DNAA).

"Adakah rakyat akan lupa bahawa Umno hari ini dipimpin oleh seorang presiden yang membawa imej 47 kes prima facie? Yang memberi DNAA ialah peguam negara, bukan rakyat atau pengundi.

"Mindset rakyat ketika ini ialah Umno sebuah parti kleptokrasi setelah dilanda isu 1MDB scandal," tegasnya.

Pada 6 Mac lalu, Ahmad Zahid memaklumkan UMNO membuka pintu seluas-luasnya kepada bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung keahlian untuk kembali menyertai parti itu.

Menurut beliau, langkah tersebut selaras dengan semangat Ramadan yang menekankan rahmat dan keampunan, selain memberi ruang kepada semua pihak melupakan perbezaan lalu serta membuka lembaran baharu bagi memperkukuh kembali parti.

Ahmad Zahid turut menjelaskan Jawatankuasa Rumah Bangsa yang dipengerusikan Naib Presiden UMNO, Mohamed Khaled Nordin akan menyelaraskan proses berkenaan mengikut tatacara dalam Perlembagaan parti.

Sehari selepas pengumuman itu, Khairy menyatakan hasrat untuk kembali menyertai UMNO susulan kenyataan Ahmad Zahid yang membuka ruang kepada bekas ahli parti tersebut.

Dalam pada itu, Ibrahim yang juga bekas Ahli Parlimen Pasir Mas turut menyentuh soal maruah politik Melayu dengan mempersoalkan kerjasama UMNO bersama Democratic Action Party (DAP) dalam kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, kerjasama tersebut bertentangan dengan slogan “No Anwar, No DAP” yang pernah dilaungkan sebelum ini.

“Jika benar Umno mahu memulihkan keyakinan rakyat, adakah kepimpinan parti sanggup melakukan reformasi sebenar termasuk membersihkan kepimpinan yang kotor dan hipokrit?

“Sanggupkah berundur dan memberi laluan kepada pemimpin yang dilihat bersih demi masa depan Umno? Buktikan keikhlasan dan buang kepentingan diri.

“Rumah Bangsa ada dalam roh diri yang ikhlas, bukan retorik atau upah orang membina rumah yang tidak ada tiang seri yang akhirnya dilihat sebagai rumah hantu,” katanya.

Mengimbau pengalamannya dalam UMNO, Ibrahim turut mendedahkan rasa “jelik” terhadap budaya politik parti itu yang didakwanya dipenuhi amalan politik wang, cemburu serta persaingan tidak sihat.

Beliau juga mengingatkan kembali pemecatannya sebagai Ketua Bahagian Pasir Mas pada 2003 oleh Abdullah Badawi pada bulan Ramadan tanpa sebab yang jelas.

"Masih ada 'iblis-iblis' pada bulan Ramadan yang menasihat dan menghasut supaya saya dipecat.

"Politik Umno adalah politik wang, cemburu dan dengki sesama sendiri, adu domba serta pijak kepala kawan untuk naik.

“Sebab itulah saya menjadi jelik dengan Umno dan tidak akan berlaku lagi pisang berbuah dua kali," katanya.

Beliau turut memberi amaran bahawa UMNO akan menjadi seperti “barang antik” yang tidak lagi berguna sekiranya parti itu gagal melakukan reformasi sebenar termasuk membersihkan kepimpinan yang dianggap kotor dan hipokrit.

+ - reset