TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dua juta kenderaan dijangka masuk ke Kelantan sempena Aidilfitri

By
|
Kongsi
image

KOTA BHARU, 16 Mac – Sebanyak dua juta kenderaan dijangka memasuki Kelantan sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, hasil rondaan pihaknya semalam mendapati kenderaan sudah mula memasuki negeri itu membabitkan pengguna jalan raya yang bercuti lebih awal.

Menurutnya, JPJ Kelantan melaksanakan Ops Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) bermula Jumaat lalu sehingga 19 Mac bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terjamin sepanjang musim perayaan.

“Pelaksanaan operasi ini bertujuan memastikan keselamatan pengguna jalan raya selain memfokuskan pematuhan undang-undang serta menjamin kelancaran aliran trafik bagi mengurangkan risiko kemalangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat pengoperasian kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) negeri Kelantan di hadapan Istana Kubang Kerian di sini pada Isnin.

Mohd Misuari berkata, operasi berkenaan dilaksanakan dalam beberapa fasa iaitu fasa pra operasi bermula 13 hingga 15 Mac lalu yang membabitkan enam depoh bas ekspres di seluruh negeri.

Katanya, fasa penguatkuasaan dan pemantauan pula bermula hari ini sehingga 29 Mac.

“Sepanjang tempoh operasi, larangan pemanduan kenderaan barangan (roadban) turut dilaksanakan iaitu sebelum perayaan pada 19 dan 20 Mac serta selepas perayaan pada 28 dan 29 Mac.

“Larangan kategori pertama ialah pergerakan sepanjang masa membabitkan kenderaan berat, manakala kategori kedua ialah larangan pergerakan dari jam 8 malam hingga 8 pagi, khususnya lori kontena serta lori membawa hasil sawit dan getah,” katanya.

Beliau berkata, bagi kategori ketiga pula, larangan pergerakan dari jam 6 petang hingga 6 pagi dalam jarak 25 kilometer dari kawasan pembinaan dikenakan terhadap kenderaan seperti kren bergerak dan lori pembancuh simen.

“Bagaimanapun, jentera berat yang menjalankan tugas kecemasan akan diberi pengecualian,” katanya.

Menurutnya, seramai 187 anggota penguat kuasa membabitkan 33 kenderaan serta 50 pasukan operasi dari semua cawangan JPJ dan stesen penguatkuasaan terlibat dalam Ops Khas HRA tahun ini.

+ - reset