TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Sesi persekolahan berjalan seperti biasa, tiada keputusan laksana PdPR

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 16 Mac – Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan sesi persekolahan ketika ini berjalan seperti biasa dan tiada sebarang ketetapan dibuat berkaitan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, kementerian mengambil maklum kegusaran masyarakat susulan penyebaran berita tular mengenai kemungkinan pelaksanaan PdPR.

“Pada masa ini sesi persekolahan berjalan seperti biasa. Keutamaan KPM adalah memastikan pembelajaran murid tidak terjejas, di samping menjaga aspek kebajikan serta kesejahteraan semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini tular di media sosial dakwaan bahawa PdPR akan dilaksanakan susulan cadangan pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (BDR) yang dijangka diputuskan Kabinet pada Selasa sebagai langkah penjimatan berikutan ketidaktentuan ekonomi akibat konflik di Asia Barat.

Konflik berkenaan menyaksikan Selat Hormuz dilaporkan ditutup sebagai tindak balas Iran terhadap serangan Amerika Syarikat dan Israel, sekali gus menjejaskan laluan penghantaran kira-kira 20 peratus daripada 410 juta tan gas asli cecair (LNG) global serta sekitar 20 peratus trafik laut bagi penghantaran urea, ammonia, sulfur dan komoditi berkaitan baja.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Malaysia mempunyai simpanan petroleum yang mencukupi sehingga Mei tahun depan.

Untuk rekod, PdPR pernah dilaksanakan di Malaysia hampir dua tahun ketika negara dan dunia berdepan pandemik Covid-19 kira-kira lima tahun lalu.

+ - reset