TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Semua rakyat Malaysia terkandas di Asia Barat berjaya dibawa pulang

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA, 16 Mac – Semua rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara akibat konflik di Asia Barat, termasuk mereka yang menunaikan umrah secara kendiri (DIY), telah diuruskan dan dibawa pulang ke tanah air.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, operasi membawa pulang rakyat Malaysia itu dilaksanakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“MKN akan memberi nasihat kepada Kementerian Luar untuk kita menyelaras. Setakat hari ini, kita telah pun membawa pulang semua rakyat Malaysia yang terkandas di lapangan terbang di Asia Barat.

“Rakyat Malaysia yang mengerjakan umrah secara DIY juga semuanya telah diuruskan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Forum Ilmuwan MADANI di Kementerian Pendidikan Tinggi di sini pada Isnin.

Sebelum ini, MKN memaklumkan kerajaan Malaysia berjaya melaksanakan operasi evakuasi membawa pulang 170 rakyat Malaysia yang terkandas akibat konflik di beberapa negara di Asia Barat.

Ketegangan di rantau itu meruncing sejak 28 Februari susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat ke atas Iran, diikuti serangan balas Tehran terhadap kepentingan Amerika Syarikat di beberapa negara di rantau berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, setakat ini kementerian tidak mempunyai perancangan untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang menetap di negara terbabit.

“Bagi rakyat Malaysia yang tinggal di sana, itu merupakan kategori ketiga. Kita tidak ada apa-apa perancangan setakat hari ini untuk membawa mereka pulang.

“Mereka boleh kembali sekiranya mahu kerana penerbangan dari negara-negara tersebut sudah dibuka dan mereka boleh pulang sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan serangan Israel dan Amerika Syarikat terhadap Iran sebagai peperangan tidak diisytiharkan dan tidak adil yang memberi kesan bukan sahaja kepada Asia Barat tetapi juga ekonomi dunia.

Menurutnya, pendirian Malaysia di peringkat antarabangsa telah dinyatakan di Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengecam sekeras-kerasnya serangan terhadap sebuah negara merdeka.

“(Iran) sebuah negara merdeka yang diserang kedaulatannya tanpa sebarang sebab,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan kapal dagang Malaysia disekat di Selat Hormuz, Mohamad berkata tiada perkembangan baharu kerana laluan perairan itu masih ditutup.

Media sebelum ini melaporkan Iran menutup Selat Hormuz sejak 1 Mac susulan serangan Amerika Syarikat dan Israel yang mengorbankan lebih 1,200 orang, termasuk Pemimpin Agung Iran ketika itu, Ayatollah Ali Khamenei.

Penutupan laluan strategik itu dilaporkan menjejaskan eksport minyak global serta meningkatkan ketidakstabilan pasaran tenaga dunia.

+ - reset