Berita Berita
Dua anggota tentera maut dalam kemalangan empat kenderaan di Setiu
BANDAR PERMAISURI, 16 Mac – Dua anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 70, Jalan Bandar Permaisuri, Jalan Kuala Terengganu–Kota Bharu, di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd Zain Mat Dris berkata, mangsa yang maut ialah pemandu kereta Honda Civic, Muhammad Aminuddin Amran, 21, serta rakannya yang duduk di tempat penumpang hadapan, Mohamad Shakiran Saidi, 36.
Menurutnya, polis menerima maklumat mengenai kemalangan tersebut kira-kira pukul 12.05 tengah hari.
“Siasatan awal mendapati kenderaan yang dinaiki mangsa dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung secara berdepan dengan sebuah lori treler.
“Perlanggaran itu menyebabkan kereta mangsa mengelongsor ke laluan bertentangan dan bergesel dengan sebuah kereta Proton Saga sebelum melanggar kereta Perodua Alza yang diparkir di dalam garaj berbumbung berhampiran lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pemandu dan penumpang Proton Saga hanya mengalami cedera ringan manakala pemandu lori treler tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk bedah siasat.
Mohd Zain berkata, kedua-dua mangsa merupakan rakan setugas di Kem 7 Workshop Briged Tebrau, Johor dan ketika kejadian sedang dalam perjalanan pulang bercuti dari tempat kerja mereka.
“Muhammad Aminuddin beralamat di Taman Gading Galoh, Merbau Chondong, Kelantan manakala Mohamad Shakiran berasal dari Kampung Kedondong, Pasir Mas,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu, Mohd Sarizan Mohamad Sapawi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 11.42 pagi.
Beliau berkata, seramai lapan anggota bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan tersebut.
“Kereta Honda Civic berkenaan turut terbakar namun berjaya dipadamkan oleh orang awam menggunakan pemadam api jenis debu kering sebelum pasukan bomba tiba.
“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Berita berkaitan
March 16, 2026, 11:23 pm
Budak empat tahun meraung putus jari akibat mercun
March 16, 2026, 11:15 pm
MS Gold & Diamonds berkongsi rezeki, belanja lebih 1,000 anak yatim baju raya di Jakel
March 16, 2026, 10:48 pm
Semua rakyat Malaysia terkandas di Asia Barat berjaya dibawa pulang
March 16, 2026, 10:36 pm
Dua juta kenderaan dijangka masuk ke Kelantan sempena Aidilfitri
March 16, 2026, 10:35 pm
Sampai hati, lelaki maki, tampar dan tumbuk kepala isteri hanya kerana diminta beli ayam gepuk
March 16, 2026, 9:48 pm
'Cukup-cukuplah masa COVID-19 dulu' - KPM tidak terburu-buru laksana semula PdPR
March 16, 2026, 6:38 pm
Sesi persekolahan berjalan seperti biasa, tiada keputusan laksana PdPR
March 16, 2026, 5:55 pm
