TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Jangan terlalu banyak syarat' - KJ gesa dasar mesra perniagaan, kerajaan perlu jadi pemudah cara

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 18 Mac – Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menegaskan kerajaan perlu memainkan peranan sebagai pemudah cara dan tidak menghalang pertumbuhan perniagaan bagi memastikan ekonomi negara terus berkembang.

Beliau berkata, antara keperluan utama ketika ini ialah dasar yang telus, keputusan yang pantas serta pendekatan lebih mesra perniagaan bagi merancakkan pelaburan dan keusahawanan.

“Kerajaan tidak boleh menjadi penghalang. Peranannya adalah untuk memudah cara dan memberi ruang kepada perniagaan berkembang.

“Jangan terlalu banyak syarat hingga menyukarkan usahawan untuk melabur dan mengembangkan perniagaan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Iftar Kembara Ramadan Mukmin, semalam.

Menurut beliau, Malaysia mempunyai potensi ekonomi yang besar dengan pelbagai kelebihan termasuk sumber asli, sektor pembuatan, teknologi serta perkhidmatan yang kukuh.

Katanya, ekonomi negara diibaratkan seperti pesawat dengan pelbagai enjin yang mampu terus beroperasi walaupun sebahagian sektor berdepan cabaran.

“Malaysia adalah negara yang sangat bertuah. Kita ada minyak dan gas, komoditi seperti kelapa sawit dan getah, sektor pembuatan termasuk semikonduktor, selain sektor perkhidmatan dan pelancongan.

“Semua ini menjadi kekuatan yang perlu dimanfaatkan sebaiknya,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy turut mengingatkan bahawa ketidaktentuan global termasuk konflik di Asia Barat boleh memberi kesan kepada ekonomi dunia, khususnya harga minyak.

Namun katanya, kedudukan strategik Malaysia termasuk laluan perdagangan utama dunia seperti Selat Melaka memberi kelebihan besar kepada negara.

Beliau turut menekankan kepentingan modal insan, dasar yang baik serta kepimpinan berkesan sebagai ramuan utama untuk membawa Malaysia ke tahap lebih tinggi.

Selain itu, Khairy mencadangkan inisiatif kebajikan seperti penyediaan makanan percuma atau harga rendah bagi membantu golongan terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.

“Jika kita dapat membantu dari segi keperluan asas seperti makanan, ia sudah cukup besar maknanya kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Dalam ucapannya, beliau juga mengajak masyarakat untuk terus bersyukur dengan nikmat yang dimiliki negara serta tidak mensia-siakan peluang untuk membina masa depan lebih baik.

“Malaysia mempunyai potensi yang sangat tinggi. Apa yang penting adalah bagaimana kita membuat keputusan yang betul dan pantas demi kebaikan rakyat,” katanya. - Media Telus

+ - reset