TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Penganggur dipenjara 9 bulan mengaku salah pijak al-Quran

By
|
Kongsi
image

 

ALOR GAJAH 9 Mac - Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah, hari ini, selepas mengaku bersalah memijak senaskhah al-Quran dalam satu kejadian pada 28 Februari lalu.

Tertuduh, Amir Abdul Malik, 41, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dr Teoh Shu Yee.

Terdahulu, tertuduh tiba di mahkamah dengan diiringi polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, Johor.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memuat naik rakaman dirinya memijak al-Quran dengan niat menghina agama Islam pada 28 Februari 2026 di sebuah rumah di Kampung Durian Daun, Masjid Tanah.

Kes itu didakwa mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN), Nahra Dollah bersama Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd Abdullah Wan Radzlad.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal dengan menekankan kepentingan awam serta keperluan memberi pengajaran, memandangkan perbuatan itu menyentuh sensitiviti agama.

Menurut Nahra, sebagai seorang Muslim, tertuduh sepatutnya lebih peka terhadap kesucian agama sendiri, namun bertindak sebaliknya sehingga mencetuskan kemarahan, justeru mencadangkan hukuman penjara sekurang-kurangnya enam bulan.

Sementara itu, tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ishak Mohd Kari, memohon hukuman minimum serta agar ia berkuat kuasa dari tarikh tangkapan pada 15 Mac lalu.

Peguam itu memaklumkan tertuduh belum berkahwin, tinggal bersama ibu bapanya yang tidak lagi bekerja serta menyesali perbuatannya.

Namun, mahkamah menegaskan kesalahan itu serius kerana membabitkan penghinaan terhadap agama.

Majistret berkata, penghinaan terhadap mana-mana agama, sama ada Islam atau bukan Islam, berpotensi membawa kesan lebih besar berbanding kecederaan fizikal.

“Perbuatan tertuduh bukan sahaja menyentuh sensitiviti umat Islam, malah melibatkan maruah agama serta hak yang dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Ia lebih membimbangkan apabila dilakukan dalam bulan Ramadan yang sepatutnya menjadi ruang meningkatkan keimanan melalui amalan kebaikan, bukannya bertindak sebaliknya,” katanya.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama sembilan bulan bermula dari tarikh tangkapannya pada 15 Mac lalu.

 

+ - reset