TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pekerja taska berdepan hukuman mati didakwa bunuh bayi empat bulan di Seberang Jaya

By
|
Kongsi
image

 

BUKIT MERTAJAM 19 Mac – Seorang pekerja pusat asuhan kanak-kanak didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang bayi lelaki berusia empat bulan, minggu lalu.

Nur Farhana Fazmar Abdullah, 22, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Tertuduh didakwa menyebabkan kematian bayi tersebut di Taska Pintar Hospital Seberang Jaya (HSJ) antara jam 1 hingga 4 pagi pada 9 Mac lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika tidak dijatuhi hukuman mati, sekiranya sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Amalina Harun, manakala tertuduh diwakili peguam Muhaimin Hashim.

Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 23 Jun sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat.

Sementara itu, seorang lagi wanita berusia 22 tahun yang sebelum ini ditahan bersama tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM10,000 oleh mahkamah sama untuk dijadikan saksi pendakwaan.

Semalam, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail mengesahkan kematian bayi berkenaan disebabkan lemas berdasarkan hasil bedah siasat.

Dalam kejadian tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 4.20 pagi, 9 Mac selepas dikejarkan ke Jabatan Kecemasan HSJ dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Difahamkan, doktor telah melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) selama kira-kira sejam sebelum bayi itu disahkan meninggal dunia.

Bayi tersebut dihantar ke pusat asuhan yang beroperasi 24 jam oleh ibunya, seorang jururawat yang bertugas syif malam.

+ - reset