TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Rakyat disaran jimat tenaga dan air sepanjang Aidilfitri

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 20 Mac - Orang ramai digesa menggunakan tenaga dan air secara berhemah sepanjang musim perayaan Aidilfitri yang lazimnya menyaksikan peningkatan penggunaan kedua-dua sumber tersebut.

Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof berkata, penggunaan elektrik di kediaman dijangka meningkat antara 20 hingga 40 peratus berbanding hari biasa.

Menurutnya, antara langkah penjimatan yang boleh diamalkan termasuk mematikan lampu serta peralatan elektrik apabila tidak digunakan dan mengelakkan mod sedia.

Selain itu, beliau menyarankan agar suhu penyaman udara ditetapkan antara 24 hingga 26 darjah Celsius serta menggunakan peralatan elektrik dengan penarafan kecekapan tenaga tinggi.

Dalam pada itu, penggunaan air pula dijangka meningkat sekitar 30 hingga 35 peratus terutama di negeri tumpuan perantau pulang beraya.

Katanya, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah memastikan operator bekalan air bersedia dengan pelan kontingensi bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Beliau berkata, kerajaan turut menyasarkan penggunaan air per kapita harian pada kadar maksimum 160 liter sejajar dengan piawaian antarabangsa.

Antara langkah penjimatan air yang disarankan ialah membaiki kebocoran paip, memastikan pili ditutup rapat serta menggunakan air tadahan hujan untuk kegunaan bukan utama.

Selain itu, orang ramai digalakkan menggunakan semula air tidak tercemar seperti air wuduk serta memilih produk berlabel cekap air bagi mengurangkan bil bulanan.

Dalam aspek keselamatan elektrik, beliau mengingatkan pengguna supaya memastikan pendawaian rumah selamat dan memeriksa Peranti Arus Baki secara berkala.

Pengguna juga dinasihatkan agar tidak membebankan soket elektrik, memastikan tangan kering ketika menggunakan peralatan serta mengelakkan penggunaan telefon bimbit ketika sedang dicas.

Menurutnya, amalan penggunaan tenaga dan air secara cekap bukan sahaja menjamin keselamatan sepanjang perayaan, malah menyokong kelestarian sumber negara untuk jangka panjang.

+ - reset