TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

JPJ kesan 2,384 kesalahan guna dron dalam Ops HRA

By
|
Kongsi
image

KOTA BHARU 21 Mac - Sebanyak 2,384 kesalahan trafik berjaya dikesan menerusi penggunaan dron sepanjang tiga hari pelaksanaan Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2026 yang bermula 16 Mac lalu.

Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, empat kesalahan utama dikenal pasti iaitu memotong di garisan berkembar (715 kes), tidak mematuhi lampu isyarat (627 kes), memotong di sebelah kiri atau memotong barisan (539 kes) serta menggunakan lorong kecemasan (503 kes).

Menurutnya, semua kesalahan yang dirakam akan dijadikan bukti sebelum notis temu siasat dikeluarkan kepada pemilik kenderaan terlibat.

“Terdapat kira-kira 200 kesalahan trafik berjaya dikesan dalam tempoh hanya 45 minit menggunakan dron, sekali gus membuktikan keberkesanan teknologi ini dalam operasi penguatkuasaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Ops HRA 2026 di Akademi JPJ Wilayah Timur, di sini.

Tambahnya, JPJ kini mempunyai enam unit dron dan perancangan sedang dibuat untuk memperluaskan penggunaannya dalam operasi akan datang.

Menurutnya, penggunaan dron bukan bertujuan mencari kesalahan semata-mata, sebaliknya sebagai langkah proaktif bagi mengenal pasti punca kemalangan dan meningkatkan disiplin pengguna jalan raya.

Dalam pada itu, beliau berkata pengguna yang menerima notis boleh menjelaskan kompaun dalam tempoh 15 hari dengan kadar diskaun 50 peratus.

Katanya, teknologi dron yang digunakan juga mampu melakukan zum sehingga 200 kali bagi mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan dengan jelas walaupun dari jarak jauh.

Sementara itu, hasil semakan pangkalan data JPJ mengenal pasti sebanyak 288 lokasi panas di seluruh negara berdasarkan kadar kemalangan dan kesalahan trafik.

Menurutnya, Kelantan mencatat jumlah tertinggi dengan 53 lokasi, diikuti Sarawak (50) dan Perak (34).

+ - reset