TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lelaki maut, lima cedera selepas Myvi terbabas elak anjing di Alor Gajah

By
|
Kongsi
image

 

ALOR GAJAH 21 Mac – Seorang lelaki maut manakala lima ahli keluarganya cedera selepas kereta dinaiki terbabas ketika cuba mengelak anjing yang melintas di Jalan Garing, Machap Baru, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang itu, Perodua Myvi berkenaan terbabas ke bahu kiri jalan sebelum terperosok ke dalam parit.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Muhammad Zaki Ramat berkata, siasatan awal mendapati kenderaan itu dipercayai cuba mengelak beberapa ekor anjing yang melintas.

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa terdiri daripada lima warga Indonesia bersama seorang kanak-kanak tempatan dalam perjalanan dari Bukit Beruang menuju ke Tebong.

“Akibat kemalangan itu, seorang penumpang lelaki berusia 43 tahun mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Alor Gajah.

“Seorang pemandu berusia 39 tahun cedera di bahagian dada dan kaki, manakala seorang wanita berumur 40 tahun mengalami kecederaan pada tangan kanan dan kaki kiri,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, seorang kanak-kanak lelaki tempatan berusia empat tahun hanya mengalami kecederaan ringan, manakala dua lagi penumpang berusia 28 dan 52 tahun turut cedera pada bahagian muka, rusuk serta badan.

“Kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan lanjut, manakala mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik hospital sama bagi proses bedah siasat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

+ - reset