TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Agong titah anasir ancam perpaduan dibanteras tegas

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 20 Mac - Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah sebarang anasir yang boleh mengancam perpaduan rakyat perlu dibanteras tanpa kompromi.

Baginda menegaskan, usaha itu bukan sekadar melalui tindakan undang-undang, tetapi turut melibatkan penerapan nilai adab dan peradaban dalam kehidupan seharian masyarakat.

Menurut baginda, rakyat tidak boleh melupakan prinsip asas dalam Rukun Negara termasuk nilai kesopanan dan kesusilaan.

“Perkara ini perlu sentiasa dipupuk kerana masih terdapat segelintir pihak yang bertindak melampaui batas hingga mencetuskan ketegangan dalam masyarakat,” titah baginda dalam perutusan Aidilfitri.

Baginda turut mengimbas beberapa insiden yang pernah mencetuskan sensitiviti termasuk isu penghinaan agama dan simbol negara.

Titah baginda, sebarang sikap tidak beradab sama ada antara kaum atau dalam kelompok sendiri tidak boleh diterima.

Dalam pada itu, baginda percaya majoriti rakyat Malaysia masih mengamalkan nilai murni dan perlu memainkan peranan mengekang suara negatif.

“Suara majoriti yang beradab perlu mengatasi golongan yang mencetuskan perpecahan,” titah baginda.

Baginda turut mengingatkan pihak berkuasa supaya menguruskan isu sensitif dengan penuh berhemah serta mengambil tindakan tegas dan tepat bagi mengekalkan kepercayaan rakyat.

Mengakhiri titah, baginda bersama Raja Zarith Sofiah mendoakan kesejahteraan rakyat serta mengingatkan agar sentiasa berhati-hati di jalan raya sepanjang musim perayaan.

+ - reset