TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Hampir 1,900 kapal terkandas di Selat Hormuz

By
|
Kongsi
image

 

LONDON 28 Mac - Hampir 1,900 kapal komersial dilaporkan terkandas di Selat Hormuz susulan peningkatan ketegangan ketenteraan melibatkan Iran, Amerika Syarikat dan Israel sejak akhir Februari lalu.

Situasi itu tercetus selepas serangan oleh Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran pada 28 Februari, yang mendorong Tehran menutup laluan strategik tersebut kepada kapal yang mempunyai kaitan dengan negara penyerang.

Akibatnya, trafik maritim di selat berkenaan terhenti sepenuhnya, menyebabkan kapal yang sedang menunggu untuk melaluinya tidak dapat meneruskan perjalanan dan terpaksa berlabuh di perairan terbuka.

Bagaimanapun, Iran memaklumkan bahawa kapal dari negara lain masih dibenarkan melalui Selat Hormuz selagi tidak menyokong sebarang tindakan terhadap negara itu serta mematuhi peraturan keselamatan yang ditetapkan.

Jurucakap markas bersepadu angkatan tentera Iran, Ebrahim Zolfaqari berkata, peraturan di laluan tersebut telah diubah dan keadaan tidak akan kembali seperti sebelum konflik, sambil menegaskan kapal yang dikaitkan dengan Amerika Syarikat dan Israel tidak dibenarkan melaluinya.

Data pengesan kapal masa nyata MarineTraffic menunjukkan sekitar 1,900 kapal tidak dapat bergerak di sekitar selat itu antara 20 hingga 22 Mac lalu.

Daripada jumlah itu, 324 merupakan kapal pengangkut pukal, 315 kapal pengangkut produk minyak dan kimia, 267 kapal pengangkut produk petroleum serta 211 kapal tangki minyak mentah.

Menurut firma analitis Vortexa, kira-kira 190 juta tong minyak mentah dan produk petroleum kini berada di atas kapal tangki yang terkandas di rantau berkenaan.

Selain itu, sebanyak 177 kapal kargo am, 174 kapal kontena, 98 kapal pengangkut gas petroleum cecair (LPG), 42 kapal asfalt atau bitumen, 37 kapal angkat berat serta 34 kapal tangki LPG dan kimia turut terjejas, manakala selebihnya melibatkan pelbagai jenis kapal lain termasuk kargo Ro-Ro dan kapal tangki bekalan bahan api.

Syarikat perkapalan Jerman, Hapag-Lloyd turut memaklumkan bahawa enam kapalnya tidak dapat beroperasi di Teluk Parsi berikutan ketegangan tersebut.

Sementara itu, Pengarah analisis maritim di Majlis Maritim Baltik dan Antarabangsa, Filipe Gouveia berkata, kesan gangguan itu terhadap pasaran bergantung kepada beberapa faktor termasuk harga bahan api, tempoh penutupan selat dan jumlah kapal yang dibenarkan melaluinya.

Beliau menjelaskan bahawa ketegangan berkenaan telah mula memberi kesan kepada kadar tambang, khususnya dalam sektor kapal tangki minyak mentah dan produk petroleum.

Menurutnya, sejak 27 Februari lalu, Indeks Kapal Tangki Kotor Baltik meningkat sebanyak 49 peratus manakala Indeks Kapal Tangki Bersih Baltik melonjak 78 peratus setakat 20 Mac, selain kadar tambang dalam pasaran kontena turut menunjukkan peningkatan ketara.

Tambah beliau, kenaikan kos bahan api serta pengenalan surcaj bahan api kecemasan oleh syarikat perkapalan turut menyumbang kepada peningkatan kos tersebut.

Dalam keadaan normal, kira-kira 30 peratus eksport minyak global melalui laut, empat peratus kargo pukal kering dan tiga peratus jumlah kontena dunia melalui Selat Hormuz, manakala laluan alternatif sedia ada tidak mempunyai kapasiti mencukupi untuk menampung jumlah tersebut.

Gouveia turut memaklumkan bahawa sekitar 5.5 peratus armada kapal tangki dunia dan 1.5 peratus armada kargo kontena kini berada di Teluk Parsi.

+ - reset