TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'She said yes' - Syed Saddiq lamar Bella Astillah di Puncak Kinabalu, umum pertunangan

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 28 Mac – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan pertunangannya dengan personaliti terkenal, Bella Astillah selepas melamar wanita itu di puncak Gunung Kinabalu dalam keadaan hujan lebat.

Perkhabaran tersebut dikongsikan menerusi hantaran di Instagram miliknya dengan kapsyen ringkas namun penuh makna: “I asked, she said yes... Ini bukan pengakhiran cerita, ini permulaan kita.”

Menurut beliau, detik lamaran itu berlaku dalam suasana mencabar di puncak gunung tertinggi negara, namun kekal menjadi antara kenangan paling bermakna dalam hidupnya.

“Proposal di atas Gunung Kinabalu masa hujan lebat,” katanya.

Dalam hantaran sama, Syed Saddiq turut mengimbas bagaimana hubungan mereka berkembang daripada rakan kerjasama profesional kepada pasangan yang kini melangkah ke fasa baharu.

“Bermula dengan kerjasama biasa yang akhirnya meraih lebih RM6 juta untuk rakyat, tanpa sedar turut menyatukan dua hati,” katanya merujuk kepada beberapa projek kebajikan dan kempen kesedaran yang menggandingkan mereka sejak dua tahun lalu.

Hubungan rapat antara kedua-dua mereka sebelum ini sering mencetus spekulasi dalam kalangan netizen, terutama apabila mereka kerap dilihat bersama dalam pelbagai inisiatif sosial sehingga digelar “gandingan ideal” oleh peminat.

Syed Saddiq turut menzahirkan rasa syukur atas perjalanan hubungan mereka setakat ini.

“Allah SWT sebaik-baik perancang,” katanya.

Pengumuman itu disambut dengan ucapan tahniah daripada orang ramai yang membanjiri ruangan komen media sosial, selain meluahkan kegembiraan apabila spekulasi mengenai hubungan pasangan tersebut akhirnya terjawab.

Pertunangan berkenaan sekali gus menamatkan teka-teki berbulan-bulan mengenai status hubungan mereka yang sebelum ini menjadi perhatian umum.

Majlis pertunangan pasangan itu turut dijadual disiarkan secara eksklusif menerusi Astro AWANI, Astro Ria dan platform penstriman Sooka pada jam 3.30 petang ini, selain siaran langsung di TikTok Astro Gempak.

+ - reset