TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Amirudin wakili Malaysia terajui delegasi Global Sumud Flotilla 2.0

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM 3 April – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari telah diamanahkan oleh Perdana Menteri untuk bertindak sebagai wakil rasmi negara bagi menerajui Misi Bantuan Kemanusiaan Malaysia ke Gaza serta delegasi Global Sumud Flotilla 2.0.

Misi bantuan yang dijadualkan berlepas pada 5 April ini digerakkan oleh Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dengan kerjasama strategik bersama NGO Cinta Gaza Malaysia sebagai tanda solidariti tidak berbelah bahagi rakyat Malaysia terhadap Palestin.

Pejabat Menteri Besar Selangor dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa misi berkenaan membawa sebanyak 30 kontena yang mengandungi kira-kira 374 tan barangan keperluan asas bagi meringankan penderitaan warga Gaza yang kian meruncing.

Amirudin dijadualkan menuju ke Kaherah, Mesir bagi memastikan urusan pelepasan kontena bantuan tersebut berjalan lancar sebelum mengetuai satu sidang khas di Pintu Sempadan Rafah bagi menyatakan pendirian tegas negara terhadap isu kepungan di wilayah berkenaan.

Selain menguruskan bantuan fizikal, beliau juga akan memantau pelepasan Delegasi Sumud Nusantara di Pelabuhan Barcelona, Sepanyol bagi memastikan penglibatan Malaysia dalam gerakan flotilla antarabangsa itu mencapai objektif kemanusiaan yang ditetapkan.

Menteri Besar Selangor turut memohon doa daripada seluruh rakyat Malaysia agar segala urusan delegasi bantuan tersebut dipermudahkan dan semua petugas yang terlibat sentiasa berada dalam perlindungan tuhan sepanjang melaksanakan amanah besar berkenaan.

Langkah melantik pemimpin negeri untuk mengetuai misi antarabangsa ini dilihat sebagai manifestasi komitmen Kerajaan Persekutuan dalam memperkasakan diplomasi kemanusiaan Malaysia di peringkat global terutamanya dalam isu melibatkan kedaulatan rakyat Palestin.

+ - reset