TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Anwar lancar MADANI Mart, kedai komuniti harga rahmah pertama

By
|
Kongsi
image

 

KUANTAN 3 April – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim hari ini merasmikan MADANI Mart Cawangan Indera Mahkota 8 di sini, sebagai kedai komuniti pertama di negara ini yang menawarkan barangan keperluan harian pada harga berpatutan dan mudah diakses rakyat.

Inisiatif berkonsep ‘Kedai Runcit Harga Rahmah’ itu diterajui Yayasan MADANI sebagai sebahagian usaha strategik kerajaan dalam menangani kos sara hidup serta memperkukuh kesejahteraan rakyat.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan turut meluangkan masa meninjau premis berkenaan bersama Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh.

Terdahulu, Fuziah dalam ucapannya berkata, MADANI Mart bukan sekadar pelengkap kepada inisiatif sedia ada, sebaliknya langkah seterusnya bagi memastikan manfaat harga rahmah dapat dinikmati secara lebih konsisten dan dekat dengan rakyat.

Menurutnya, inisiatif itu juga membuka peluang keusahawanan dalam ekosistem peruncitan yang lebih tersusun.

“Sasaran adalah untuk mewujudkan sekurang-kurangnya satu MADANI Mart di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan 640 premis di seluruh negara dalam tempoh dua tahun,” katanya.

Beliau menegaskan langkah itu penting bagi memastikan keterjangkauan barangan asas dapat diperluaskan termasuk di kawasan luar bandar dan separa bandar.

“Saya yakin bahawa inisiatif ini akan memberi impak positif dalam membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat,” katanya.

+ - reset