TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis digantung tugas antara enam suspek samun menyamar anggota di Sentul

By
|
Kongsi
image

Oleh AZIM SAID

KUALA LUMPUR 8 April – Polis berjaya menumpaskan satu kumpulan samun bersenjata yang menyamar sebagai penjawat awam susulan penahanan tiga lelaki tempatan dalam operasi di sekitar ibu negara pada 5 April lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, tangkapan tersebut merupakan susulan daripada tiga laporan polis yang diterima melibatkan kes samun bersenjata ke atas mangsa warga asing, termasuk warga China dan Indonesia berusia antara 29 hingga 52 tahun.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku di sekitar Kepong pada awal pagi, antara jam 5.30 hingga 7.30 pagi, apabila enam suspek yang tidak dikenali memecah masuk ke kediaman mangsa.

Salah seorang suspek dilaporkan mengacukan objek menyerupai pistol bagi menakutkan mangsa.

“Modus operandi kumpulan ini adalah dengan menyamar sebagai pegawai polis sebelum menyasarkan kediaman warga asing untuk melakukan samun,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Dalam kejadian tersebut, suspek melarikan beberapa barangan berharga termasuk tiga kenderaan mewah jenis Toyota Alphard, Rolls-Royce dan Bentley, selain wang tunai RM24,200, 1,200 USD, barang kemas serta jongkong emas.

Jumlah kerugian dianggarkan mencecah RM4.4 juta.

Bertindak atas maklumat risikan, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul bersama Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kuala Lumpur telah membuat tangkapan ke atas tiga lelaki berusia antara 31 hingga 51 tahun.

“Hasil tangkapan awal membawa kepada penahanan susulan terhadap tiga lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam sindiket ini,” katanya.

Polis turut merampas dua pucuk pistol, lima kenderaan, wang tunai berjumlah RM13,056, pelbagai mata wang asing, lapan telefon bimbit dan dua pas keselamatan.

Kesemua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Ujian saringan air kencing mendapati salah seorang suspek positif dadah jenis amphetamine.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397/170 Kanun Keseksaan.

Pihak polis menegaskan siasatan masih berjalan dan orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan

Polis menyeru orang ramai untuk tampil membantu, terutama jika mempunyai maklumat berkaitan rangkaian atau modus operandi kumpulan ini.

+ - reset