Berita Berita
Imam sambilan didenda RM8,000 rakam adik ipar mandi ketika keluarga besar berkumpul pada Hari Raya
KOTA BHARU 8 April - Seorang imam sambilan di sebuah surau dijatuhi denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah merakam adik iparnya yang sedang mandi pada hari keempat Hari Raya Aidilfitri, 24 Mac lalu.
Tertuduh berusia 36 tahun membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu dengan sengaja merakam seorang wanita berusia 27 tahun dengan niat mengaibkan kehormatan serta mengganggu kesantunannya.
Kejadian berlaku pada 24 Mac sekitar jam 6.30 petang di sebuah rumah di Kok Lanas, Ketereh.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nadzir Abdullah, memohon hukuman setimpal memandangkan mangsa adalah adik ipar tertuduh dan kejadian berlaku ketika keluarga besar berkumpul sempena sambutan Aidilfitri.
"Sebagai imam sambilan di surau, tertuduh sepatutnya menjadi contoh dan bukannya mencemar maruah ahli keluarga sendiri," katanya.
Sementara itu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Najwa Fahima Mohamad Fadzil, merayu agar hukuman minimum dikenakan kerana tertuduh sudah insaf serta menanggung isteri, dua anak termasuk seorang yang menghidap penyakit jantung berlubang, selain ibu yang menghidap diabetes.
Majistret Rais Imran menegur tindakan tertuduh sebagai mencemarkan maruah keluarga, dengan berkata:
"Sebagai individu berpendidikan undang-undang dan imam, tertuduh sepatutnya melindungi maruah keluarga, bukan mengambil kesempatan. Jangan jadi seperti haruan makan anak," katanya.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM8,000 atau penjara 12 bulan sekiranya gagal membayar, dan tertuduh membayar denda tersebut.
Berdasarkan fakta kes, mangsa menemui telefon bimbit yang disembunyikan di atas dinding bilik air ketika mandi sebelum mendapati ia milik tertuduh. Mangsa kemudian merampas telefon berkenaan dan membuat laporan polis bagi mengelakkan rakaman tersebut tersebar.
Berita berkaitan
April 9, 2026, 10:51 am
Kerajaan gagal beri penjelasan harga minyak, PGIRM tuntut mekanisme APM dinilai semula
April 9, 2026, 10:45 am
Guru sekolah swasta maut dilanggar treler di Lebuhraya SILK
April 9, 2026, 10:30 am
Prestasi penjawat awam Malaysia lebih baik berbanding negara jiran - PM
April 8, 2026, 10:39 pm
Harga diesel Semenanjung RM6.72 seliter
April 8, 2026, 7:13 pm
Kerajaan teliti guna MyKad, MyKasih untuk diesel bersasar
April 8, 2026, 4:29 pm
Polis digantung tugas antara enam suspek samun menyamar anggota di Sentul
April 8, 2026, 3:18 pm
