Berita Berita
Harga diesel Semenanjung RM6.72 seliter
KUALA LUMPUR 8 April - Harga runcit diesel di Semenanjung meningkat kepada RM6.72 seliter bagi tempoh 9 hingga 15 April, susulan tekanan berterusan krisis tenaga global yang menjejaskan kos bekalan bahan api.
Kenaikan sebanyak 70 sen itu berbanding RM6.02 seliter pada minggu sebelumnya diumumkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) dalam satu kenyataan pada Rabu.
"Walaupun terdapat penurunan harga minyak mentah global hari ini berikutan pengumuman gencatan senjata, kesannya tidak serta-merta diterjemahkan kepada penurunan harga runcit bahan api di Malaysia.
"Ini kerana harga pam di negara ini ditentukan berdasarkan purata harga petrol dan diesel minggu sebelumnya, bukannya harga semasa hari ini.
"Sehubungan itu, harga semasa masih mencerminkan kos bekalan yang tinggi sepanjang tempoh lima minggu lalu ketika pasaran global berada pada paras lebih tinggi, mencecah sekitar AS$150 setong bagi produk petrol dan AS$250 setong bagi produk diesel," katanya.
Dalam pada itu, MoF memaklumkan harga RON97 turut meningkat sebanyak 40 sen kepada RM5.35 seliter berbanding RM4.95 sebelum ini, manakala RON95 naik kepada RM4.27 seliter berbanding RM3.87.
Kerajaan bagaimanapun mengekalkan harga bersubsidi secara bersasar kepada rakyat dan sektor tertentu termasuk RON95 (BUDI95) pada RM1.99 seliter, diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan pada RM2.15 seliter, Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi pada RM2.05 seliter serta Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi pada RM2.15 seliter.
"Bermula 1 April 2026, had kelayakan BUDI95 diselaraskan kepada 200 liter sebulan.
"Pelarasan ini merupakan langkah sementara sehingga keadaan bekalan global kembali stabil," menurut kenyataan itu.
Selain itu, kerajaan turut melaksanakan had pengisian diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan bagi mengekang ketirisan dan penyeludupan, iaitu 50 liter bagi setiap pembelian untuk kenderaan ringan.
Bagi kenderaan pengangkutan awam dan barangan tidak melebihi tiga tan, had ditetapkan sehingga 100 liter, manakala kenderaan melebihi tiga tan dibenarkan sehingga 150 liter bagi setiap pembelian.
"Sebagai langkah sementara susulan kenaikan harga diesel, kerajaan mengekalkan bantuan tunai tambahan BUDI Diesel sebanyak RM100 pada bulan April, menjadikan jumlah bantuan sebanyak RM300 kepada penerima BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi.
"Kerajaan akan terus memantau perkembangan global secara rapi dan mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan bekalan tenaga negara kekal stabil serta mencukupi, di samping terus melindungi rakyat menerusi mekanisme sokongan bersasar yang sedia ada.
"Kerajaan akan terus mengimbangi keperluan fiskal dengan perlindungan rakyat secara teliti dan berhemah bagi memastikan kesejahteraan ekonomi negara serta kelangsungan hidup rakyat terus terpelihara," katanya.
Berita berkaitan
April 9, 2026, 10:51 am
Kerajaan gagal beri penjelasan harga minyak, PGIRM tuntut mekanisme APM dinilai semula
April 9, 2026, 10:45 am
Guru sekolah swasta maut dilanggar treler di Lebuhraya SILK
April 9, 2026, 10:30 am
Prestasi penjawat awam Malaysia lebih baik berbanding negara jiran - PM
April 8, 2026, 7:13 pm
Kerajaan teliti guna MyKad, MyKasih untuk diesel bersasar
April 8, 2026, 4:29 pm
Polis digantung tugas antara enam suspek samun menyamar anggota di Sentul
April 8, 2026, 3:18 pm
