TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dua pelajar sekolah antara ditahan kumpulan gengster serang pusat karaoke besar-besaran di Cheras

By
|
Kongsi
image

Oleh AZIM SAID

KUALA LUMPUR, 8 April — Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 45 individu bagi membantu siasatan berhubung satu kes rusuhan dan khianat yang berlaku di sebuah pusat hiburan di Cheras, baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, pihaknya menjalankan operasi pada 6 dan 7 April lalu dan berjaya menahan lapan suspek awal berumur antara 16 hingga 27 tahun.

“Permohonan reman telah dibuat ke atas kesemua suspek,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Sebahagian daripada mereka direman selama dua hari sehingga hari ini, manakala selebihnya direman sehari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 427 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan, melibatkan kesalahan khianat dan rusuhan bersenjata.

Bertindak atas kejadian tersebut, polis telah melancarkan operasi secara agresif dan setakat ini berjaya menahan 37 lagi individu dengan lingkungan umur antara 14 hingga 57 tahun bagi membantu siasatan.

"Polis turut merampas sebuah lori dan empat kenderaan lain yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu," jelasnya.

Selain itu, permohonan reman tambahan di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah turut dipohon bagi suspek yang baru ditahan.

Pihak polis menegaskan bahawa siasatan masih diteruskan dan tidak menolak kemungkinan tangkapan lanjut akan dibuat.

Dalam kejadian sebelum ini pada 5 April 2026 sekitar jam 7.30 malam, menyaksikan kumpulan seramai 60 orang merempuh masuk ke kawasan premis menggunakan sebuah lori sebelum bertindak merosakkan harta benda.

Suspek menggunakan kayu dan kayu besbol untuk memecah masuk ke dalam premis, termasuk merosakkan bahagian hadapan, lobi serta bilik-bilik yang dipercayai merupakan sebuah pusat karaoke.

Dalam pada itu, orang ramai diingatkan supaya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti jenayah.

Polis juga menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini untuk menyalurkannya melalui Hotline Polis Kuala Lumpur atau mana-mana balai polis berhampiran.

+ - reset