Berita Berita
Kerajaan teliti guna MyKad, MyKasih untuk diesel bersasar
PUTRAJAYA 8 April - Kerajaan sedang meneliti mekanisme baharu bagi memanfaatkan sistem MyKasih Foundation dan penggunaan MyKad dalam pemberian subsidi bersasar termasuk diesel kepada rakyat Malaysia.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata perkara itu akan diteliti oleh Kementerian Kewangan Malaysia sebelum diputuskan oleh Jemaah Menteri.
“Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini membincangkan beberapa perkara susulan kepada Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara yang berlangsung semalam dan beberapa ikhtiar yang akan disusuli termasuk apa yang diumumkan baru-baru ini oleh Menteri Kewangan II.
“Ia mengenai memanfaatkan sistem MyKasih dan penggunaan MyKad bagi tujuan pemberian subsidi termasuk bagi diesel untuk rakyat Malaysia,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet dan Taklimat Harian Krisis Tenaga Global di sini, hari ini.
Sebelum ini, Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan, memaklumkan kerajaan sedang meneliti kemungkinan memperluaskan penggunaan MyKad dalam sistem subsidi bersasar diesel susulan kejayaan pelaksanaan program BUDI95 bagi petrol RON95.
Langkah tersebut dilihat sebagai usaha memperkemas penyampaian subsidi serta mengurangkan ketirisan, namun memerlukan penelitian rapi dari segi logistik, penggunaan dan kesiapsiagaan sistem di seluruh negara.
Dalam pada itu, Fahmi berkata Jemaah Menteri turut mengambil maklum beberapa isu yang dihadapi golongan nelayan.
Menurutnya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) diminta mengambil tindakan susulan dengan mengambil kira jurang antara harga diesel bersubsidi dan pulangan hasil nelayan.
“Ia mengakibatkan aktiviti menangkap ikan terutama di kawasan pesisir pantai dan laut dalam terkesan.
“Untuk maklumat lanjut, kita akan ikuti kelak apa-apa kenyataan terbaharu daripada pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan,” katanya.
Berita berkaitan
April 9, 2026, 10:51 am
Kerajaan gagal beri penjelasan harga minyak, PGIRM tuntut mekanisme APM dinilai semula
April 9, 2026, 10:45 am
Guru sekolah swasta maut dilanggar treler di Lebuhraya SILK
April 9, 2026, 10:30 am
Prestasi penjawat awam Malaysia lebih baik berbanding negara jiran - PM
April 8, 2026, 10:39 pm
Harga diesel Semenanjung RM6.72 seliter
April 8, 2026, 4:29 pm
Polis digantung tugas antara enam suspek samun menyamar anggota di Sentul
April 8, 2026, 3:18 pm
