TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kerajaan digesa teliti semula moratorium bersasar bantu rakyat

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 9 April – KEADILAN Putrajaya mencadangkan agar kerajaan meneliti pelaksanaan semula moratorium pinjaman bank secara bersasar bagi meringankan beban kewangan rakyat yang terkesan dengan ketidaktentuan ekonomi global.

Timbalan Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan yang juga Ketua Cabang KEADILAN Putrajaya, Fikri Aziz berkata, langkah tersebut penting bagi memberi ruang kepada isi rumah menyusun semula perbelanjaan harian serta meningkatkan kuasa beli mereka.

Beliau menjelaskan bahawa moratorium bukanlah penghapusan hutang, sebaliknya penangguhan bayaran yang mampu memberikan kelegaan aliran tunai untuk digunakan bagi keperluan asas.

"Apabila aliran tunai bertambah, perbelanjaan domestik turut dirangsang, seterusnya memberi limpahan manfaat kepada perniagaan tempatan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Kesan gandaan ini penting bagi memastikan ekonomi domestik kekal rancak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Fikri menekankan bahawa pelaksanaan itu perlu dirangka secara teliti dengan memberi keutamaan kepada golongan B40, M40 serta mereka yang benar-benar memerlukan.

Beliau turut menyarankan agar pendekatan secara pukal dielakkan bagi memastikan keseimbangan antara membantu rakyat dan mengekalkan kestabilan sistem kewangan negara.

"Kerjasama erat dengan Bank Negara Malaysia (BNM) serta institusi kewangan amat penting bagi memastikan dasar ini tidak menjejaskan keutuhan sistem perbankan. Pendekatan yang pragmatik dan tersusun mampu memberi impak mampan kepada ekonomi," tambahnya lagi.

Cadangan ini dilihat sebagai salah satu bentuk intervensi ekonomi bagi mendepani cabaran geopolitik global yang secara langsung mempengaruhi kos sara hidup rakyat ketika ini.

+ - reset