TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Malaysia perlu buktikan pelaksanaan, bukan sekadar berjanji capai sasaran sifar bersih – Fadillah

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR, 9 April – Malaysia kini berada pada fasa kritikal dalam usaha mencapai sasaran sifar bersih, dengan kejayaan bergantung kepada pelaksanaan dasar, bukan sekadar komitmen di atas kertas.

Perkara itu ditegaskan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Fadillah Yusof ketika merasmikan Malaysia Energy, Water & Climate Change Summit 2026 yang berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur hari ini.

Menurut beliau, walaupun Malaysia komited mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 serta 70 peratus kapasiti tenaga boleh baharu, kejayaan sebenar hanya dapat dicapai melalui tindakan konkrit.

“Sebuah negara tidak dinilai berdasarkan janji, tetapi sejauh mana janji itu ditepati. Kini kita berada pada tahap perlu bertanggungjawab terhadap apa yang dilaksanakan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pelaksanaan menjadi kunci utama, termasuk dalam pembangunan infrastruktur tenaga, pengembangan grid dan pembaharuan tarif elektrik.

“Komitmen sahaja tidak membina talian penghantaran tenaga. Pelaksanaan yang menentukan hasil,” tambahnya.

Dalam masa sama, Fadillah turut mengakui wujud cabaran struktur seperti peningkatan permintaan elektrik akibat pendigitalan, kekangan kapasiti grid serta ketidaktentuan pasaran tenaga global.

Menyentuh isu air, beliau mendedahkan Malaysia masih kehilangan lebih 30 peratus air terawat, malah melebihi 40 peratus di beberapa negeri, sekali gus menuntut reformasi segera termasuk penggunaan teknologi dan penstrukturan kewangan.

Sidang kemuncak anjuran KSI Strategic Institute for Asia Pacific itu menghimpunkan lebih 150 delegasi kanan bagi membincangkan pelaksanaan reformasi tenaga, air dan perubahan iklim dalam tempoh 2026 hingga 2027.

Antara fokus utama ialah memperkukuh keupayaan infrastruktur, menangani kekangan pembiayaan serta memastikan dasar yang digubal dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan yang berdaya maju secara komersial.

Sidang turut menyaksikan penyampaian Anugerah Kecemerlangan dan Kelestarian kepada 14 individu serta organisasi yang menunjukkan pencapaian cemerlang dalam bidang masing-masing.

Mengakhiri ucapannya, Fadillah menegaskan keperluan tindakan bersepadu antara kerajaan Persekutuan dan negeri bagi memastikan agenda transformasi negara dapat direalisasikan.

“Kita akan dinilai bukan berdasarkan janji, tetapi kemajuan yang ditunjukkan,” katanya.

+ - reset