TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pembela sokong larangan penganjuran rumah terbuka Aidilfitri oleh persatuan tokong

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM 9 April – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) menyokong penuh tindakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) melarang sebuah persatuan tokong daripada menganjurkan majlis rumah terbuka Aidilfitri.

Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, tindakan tersebut adalah tepat bagi menjaga sensitiviti dan mengelakkan normalisasi program keagamaan Islam yang dianjurkan oleh penganut agama lain di kawasan rumah ibadat mereka.

"Biarlah orang Islam yang anjurkan dan tidak di dalam perkarangan rumah anutan bukan Islam. Hormatilah sensitiviti itu dan jangan normalisasi program sebegini walaupun atas nama harmoni," katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, JHEAIPP mengeluarkan surat larangan kepada Persatuan Tokong Thean Hock Keong dengan menyatakan bahawa sambutan Aidilfitri merupakan aktiviti keagamaan masyarakat Islam yang memerlukan kebenaran Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Meskipun setiausaha persatuan tersebut, Ng Choong Seong, menyatakan rasa kecewa kerana niat asal adalah untuk memupuk perpaduan melalui hidangan halal dan rundingan bersama pemimpin masjid tempatan, pihak berkuasa agama tetap bertegas dengan keputusan tersebut.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohd Sukki Othman menjelaskan, keputusan itu dibuat berasaskan prinsip syariah Sadd al-Zari’ah (menutup pintu kemudaratan) bagi mengelakkan kekeliruan akidah serta salah faham masyarakat mengenai batas interaksi antara agama.

Isu ini turut mendapat perhatian pelbagai pihak yang menekankan kepentingan mematuhi garis panduan jabatan agama negeri bagi mengekalkan keharmonian tanpa menyentuh batas-batas sensitiviti agama di negara ini.

+ - reset