TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

70 peratus produk kopi, biskut guna berus bulu babi ditarik dari pasaran

By
|
Kongsi
image

MELAKA 10 April – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) mengesahkan kira-kira 70 peratus produk kopi dan biskut yang terlibat dengan isu penggunaan berus bulu babi telah berjaya ditarik keluar dari pasaran setakat 6 April lalu.

Tindakan itu melibatkan produk keluaran Heng Loong Coffee Sdn Bhd dan Tian Hup Seng Biscuit Factory Sdn Bhd susulan penarikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) terhadap kedua-dua syarikat berkenaan.

Bahagian Pengurusan Halal JAIM menerusi kenyataan di laman Facebook rasmi memaklumkan, pemeriksaan di 33 buah pasar raya di sekitar Melaka mendapati produk terbabit tidak lagi dipamerkan di rak jualan.

"Setakat ini, hasil pemantauan mengesahkan tiada lagi produk berkenaan ditemui di premis terbabit. Proses penarikan baki produk di peringkat seluruh negara juga dijangka selesai dalam masa terdekat," jelas kenyataan itu.

Isu ini mula tercetus apabila pemeriksaan JAIM pada Januari lalu menemukan penggunaan berus berasaskan bulu haiwan di premis kilang terbabit bagi kerja-kerja pembersihan peralatan.

Pengarah JAIM, Datuk Md Azhan Samat sebelum ini mengesahkan bahawa hasil analisis Pusat Analisis Halal Malaysia (MyHAC) bulan lalu mendapati berus tersebut mempunyai ciri fizikal bulu babi, sekali gus membawa kepada penarikan serta-merta sijil halal syarikat terlibat.

JAIM turut meminta kerjasama orang ramai agar menyalurkan maklumat sekiranya masih menemui produk berkenaan di pasaran, terutama di luar Melaka, dengan menghubungi Bahagian Pengurusan Halal JAIM di talian 06-333 3333 (sambungan 4055/4056/4060).

+ - reset