Berita Berita
Kejohanan Futsal B-17 Sarawak platform cungkil bakat ke Sukma 2026 - Mordi
KUCHING 11 April – Kejohanan Futsal Bawah 17 Tahun Antara Sekolah Menengah Sarawak kali ketiga dilihat sebagai platform penting dalam mencungkil bakat muda serta mempersiapkan mereka ke pentas lebih tinggi termasuk Sukan Malaysia (Sukma) XXII di Selangor, Ogos ini.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol berkata, kejohanan peringkat negeri itu menjadi medium utama untuk mengenal pasti serta membangunkan pemain berpotensi tinggi agar mampu bersaing di peringkat lebih kompetitif.
Sebanyak 30 pasukan melibatkan kira-kira 300 pelajar menyertai kejohanan yang berlangsung pada Sabtu, anjuran United Sports Recreation Club.
Menurut Mordi, usaha pembangunan bakat sukan di peringkat akar umbi perlu terus diperkukuh dengan menyediakan lebih banyak platform pertandingan berkualiti bagi melahirkan barisan atlet yang berdaya saing.
“Kerajaan kekal komited memperkukuh ekosistem sukan melalui kerjasama bersepadu dengan Kementerian Pendidikan dan persatuan sukan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan pelaksanaan Penilaian Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) menjadi asas penting dalam pembangunan holistik atlet muda.
Bagi memastikan kesinambungan pembangunan itu, katanya, kementerian menyalurkan RM8,000 menerusi Dana Sukan Komuniti (DSK) bagi menyokong penganjuran kejohanan di peringkat sekolah dan komuniti.
Dalam pada itu, Mordi yang juga Ahli Parlimen Mas Gading berkata pencapaian Sarawak sebagai naib juara acara futsal pada Sukma XXI di negeri itu pada 2024 mencerminkan potensi besar Sarawak sebagai kuasa baharu sukan berkenaan di peringkat kebangsaan.
“Usaha berterusan kini tertumpu kepada memperluas kumpulan bakat dan memperkukuh kedalaman skuad,” katanya.
Beliau menambah, kejohanan itu juga menyokong aspirasi menjadikan Sarawak sebagai hab pembangunan sukan serantau menjelang Sukan SEA yang akan dianjurkan Malaysia tahun depan.
Selain itu, katanya, inisiatif sebegini penting dalam membentuk atlet muda tempatan yang bukan sahaja cemerlang dari segi prestasi, malah memiliki disiplin, integriti dan semangat kesukanan tinggi.
Sementara itu, Pengerusi penganjur, Sylvester Lim menyifatkan kejohanan tersebut sebagai platform utama pembangunan belia dengan penyertaan meluas sekolah dari seluruh Sarawak termasuk Singai, Miri dan Sri Aman.
“Ini bukan sekadar pertandingan sukan, tetapi juga platform memupuk persahabatan, disiplin, kerja berpasukan dan semangat kesukanan dalam kalangan pelajar,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Belia dan Sukan Sarawak serta Mordi atas sokongan berterusan.
Namun, beliau mengakui pembangunan futsal masih berdepan kekangan berikutan kekurangan kemudahan yang memenuhi piawaian antarabangsa ditetapkan FIFA.
Katanya, ketiadaan gelanggang mengikut spesifikasi antarabangsa memberi kesan kepada pembangunan futsal dari peringkat akar umbi hingga ke tahap kompetitif.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya kemudahan sedia ada dinaik taraf serta sebuah persatuan futsal khusus ditubuhkan bagi memperkasa pembangunan sukan tersebut.
Berita berkaitan
April 11, 2026, 7:24 pm
Warga Singapura ditahan isi RON95 di JB, kes pertama sejak larangan berkuat kuasa
April 11, 2026, 6:02 pm
Malaysia berdepan tempoh kritikal Jun hingga Julai ini - Menteri Ekonomi
April 11, 2026, 5:13 pm
13 budak ditahan bergaduh depan sekolah di JB
April 11, 2026, 12:51 pm
Polis sahkan suspek conteng kalimah Allah pada dinding tokong sakit mental
April 10, 2026, 6:49 pm
Hannah Yeoh cadang orang ramai masuk KL lebih awal kurangkan sesak waktu puncak
April 10, 2026, 5:29 pm
Polis sahkan pegawai berpangkat DSP ditahan disyaki dalang kes samun RM4.4 juta
April 10, 2026, 5:14 pm
