TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Malaysia berdepan tempoh kritikal Jun hingga Julai ini - Menteri Ekonomi

By
|
Kongsi
image

 

JOHOR BAHRU 11 April - Malaysia dijangka berdepan tempoh kritikal sekitar Jun hingga Julai ini susulan ketidaktentuan bekalan diesel akibat konflik di Asia Barat, sekali gus menuntut langkah intervensi segera kerajaan bagi memastikan kelangsungan rantaian bekalan.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, selain menjamin bekalan diesel mencukupi, kerajaan turut perlu memberi perhatian terhadap ketersediaan bahan mentah utama bagi sektor industri.

Menurutnya, langkah awal perlu diambil bagi mengelakkan gangguan yang boleh menjejaskan sektor pembuatan dan perkhidmatan.

“Antara kebimbangan yang dibangkitkan adalah kekangan bahan berasaskan petroleum seperti resin yang digunakan dalam penghasilan plastik.

“Sudah ada aduan mengenai gangguan bekalan bahan ini, justeru kita perlu mencari jalan memastikan bekalan mencukupi selain meneroka alternatif lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Pelangi, di sini hari ini.

Tambahnya, antara langkah yang boleh dipertimbangkan termasuk penggunaan bahan alternatif seperti polimer dalam pembuatan produk tertentu termasuk peranti perubatan.

Bagaimanapun, katanya, penggunaan bahan baharu itu memerlukan tindakan segera kerajaan terutama dari segi pengiktirafan dan pensijilan bagi memastikan ia memenuhi piawaian keselamatan.

“Langkah ini penting supaya industri tidak terlalu bergantung kepada satu sumber sahaja, sekali gus meningkatkan daya tahan rantaian bekalan negara,” ujarnya.

Akmal Nasrullah berkata, tekanan terhadap bekalan dan harga dijangka mula dirasai pertengahan tahun ini sekiranya tiada langkah awal diambil.

Menurutnya, kebanyakan barangan termasuk ubat-ubatan dan peranti kesihatan bergantung kepada bahan api sebagai input utama, sekali gus menyebabkan kos pengeluaran meningkat apabila harga tenaga naik.

“Apabila kos input meningkat, ia akan memberi kesan langsung kepada harga barangan di pasaran,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan agensi pelaksana di bawah kementerian berkaitan telah diarahkan meneliti tahap ketersediaan bekalan secara menyeluruh serta merangka langkah intervensi bagi memastikan rantaian bekalan kekal stabil.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya kini memantau kenaikan harga ubat-ubatan dan peranti kesihatan susulan krisis tenaga global.

Menurutnya, harga ubat dilaporkan meningkat antara 30 hingga 40 peratus, manakala beberapa peranti perubatan mencatatkan kenaikan sehingga 100 peratus.

Katanya, peningkatan itu mula dikesan sebelum Mac lalu apabila terdapat pemain industri menangguhkan bekalan, sekali gus menyebabkan harga meningkat lebih awal di pasaran.

+ - reset