TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

JPJ siasat lelaki riba 'awek' sambil pandu bas sedang bergerak

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 13 April – Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia membuka kertas siasatan berhubung video tular memaparkan seorang pemandu bas ekspres dipercayai membiarkan seorang wanita mengendalikan kenderaan itu sambil duduk di atas ribanya ketika bas sedang bergerak.

Rakaman video yang dipercayai diambil penumpang menunjukkan wanita berkenaan memegang stereng dalam keadaan berbahaya, manakala satu lagi klip berasingan yang dirakam kamera pemuka kenderaan lain memaparkan bas itu sedang bergerak dalam trafik.

Berdasarkan maklumat yang tular di media sosial, bas ekspres tersebut dipercayai dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) menuju ke Kulai ketika kejadian berlaku.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, tindakan segera diambil sebaik video itu tular.

“Siasatan dijalankan serta-merta susulan video yang tular itu. Pemandu yang dimaksudkan dan syarikat bas yang terbabit sudah dikenal pasti.

“Pemandunya sudah dipanggil untuk direkodkan keterangan pagi ini,” katanya.

Menurut beliau, sebaik siasatan selesai, kes tersebut akan dirujuk kepada Ketua Pengarah JPJ untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pejabat JPJ berhampiran.

Beliau turut mengingatkan semua pengguna jalan raya khususnya pengusaha kenderaan komersial supaya sentiasa mematuhi undang-undang bagi memastikan keselamatan dan mengelakkan kejadian yang boleh membahayakan nyawa.

+ - reset