TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis percaya banduan lolos dari Penjara Sungai Buloh tak lari jauh, masih berada di kawasan sekitar

By
|
Kongsi
image

 

SHAH ALAM 13 April – Polis membuka kertas siasatan bagi mengenal pasti sebarang kelemahan atau ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) susulan insiden seorang lelaki warga Pakistan melarikan diri dari Penjara Sungai Buloh pada Khamis lalu.

Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 223 dan 224 Kanun Keseksaan.

“Polis membuka kertas siasatan bagi memastikan sebarang kelemahan atau ketidakpatuhan pada SOP mengikut Seksyen 223 dan 224 Kanun Keseksaan.

“Kita akan meneliti sebarang kecuaian ataupun kelemahan dan tindakan sewajarnya akan diambil,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.

Menurut beliau, operasi mengesan suspek masih giat dijalankan dan berdasarkan maklumat diterima, lelaki terbabit dipercayai masih berada di sekitar kawasan Sungai Buloh.

“Rakaman percakapan juga sudah diambil membabitkan pelbagai pihak antaranya polis, Jabatan Penjara Malaysia serta tahanan lain yang menjadi saksi kejadian.

“Kita juga percaya suspek belum berhubung dengan rakan dan bergerak bersendirian ketika ini,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan, kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang ketika proses menghantar tahanan reman ke penjara oleh pasukan pengiring dari Shah Alam.

Suspek meloloskan diri sebaik tiba di kawasan padang kawad penjara ketika turun dari kenderaan polis.

Difahamkan, lelaki dikenali sebagai Muhammad Hassan, 24, baharu selesai menjalani prosiding di Mahkamah Shah Alam berkaitan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak, rompakan dan kesalahan imigresen.

Ketika kejadian, suspek dilaporkan memakai kemeja-T berwarna oren dan seluar panjang hitam.

+ - reset