TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dakwaan Malaysia ‘lari’ sertai PISA tidak berasas, salah tafsir data pendidikan - Penyelidik

By
|
Kongsi
image

 

 

KUALA LUMPUR 13 April - Dakwaan kononnya Malaysia mengelak daripada menyertai pentaksiran antarabangsa Programme for International Student Assessment (PISA) disifatkan sebagai mitos yang tidak berasaskan fakta serta berpunca daripada salah tafsir data pendidikan.

Penyelidik pendidikan, Dr Radin Muhd Imaduddin Radin Abdul Halim berkata, naratif yang mendakwa berlaku penurunan standard sistem pendidikan negara sebenarnya dibina daripada penggunaan angka tanpa konteks serta perbandingan yang tidak tepat.

Menurut beliau, sistem peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) masih berteraskan prinsip dan kerangka pentaksiran yang sama sejak dahulu, sekali gus menolak dakwaan bahawa standard telah “direndahkan” secara sistemik.

“Tiada bukti kukuh yang menunjukkan standard SPM diturunkan. Apa yang berubah ialah mutu serta capaian sistem pendidikan yang kini lebih inklusif,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menjelaskan peningkatan jumlah pelajar cemerlang hari ini adalah hasil peluasan akses pendidikan, termasuk peningkatan enrolmen prasekolah, sokongan pembelajaran yang lebih menyeluruh serta penambahbaikan prasarana dan kualiti guru.

Dalam pada itu, beliau turut menolak dakwaan kononnya ratusan ribu murid gagal menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M), dengan menyifatkannya sebagai tafsiran mengelirukan terhadap data saringan awal.

Katanya, saringan awal yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertujuan mengenal pasti murid yang memerlukan intervensi, bukannya mencerminkan kegagalan sistem.

“Pada 2024, seramai 122,062 murid Tahun Satu dikenal pasti belum menguasai 3M, namun 59.3 peratus berjaya dipulihkan dalam tempoh singkat.

“Secara keseluruhan, sekitar 90 peratus murid telah menguasai asas 3M seawal Tahun Dua,” katanya.

Mengulas dakwaan bahawa 42 peratus murid tidak boleh membaca, beliau menjelaskan angka tersebut sebenarnya merujuk kepada murid yang belum mencapai tahap kefahaman minimum dalam penilaian serantau SEA-PLM 2019, bukannya tidak boleh membaca langsung.

“Sebahagian besar murid berada pada tahap sederhana hingga tinggi, cuma belum mencapai piawaian antarabangsa. Ini disalah tafsir untuk mencipta persepsi negatif,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia terus menyertai PISA sejak 2009 hingga kini, termasuk pusingan terkini, sekali gus menafikan dakwaan negara “lari” daripada penilaian tersebut.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata pencapaian Malaysia dalam SEA-PLM 2024 menunjukkan kemajuan ketara apabila negara muncul antara terbaik dalam literasi penulisan di peringkat serantau.

“Ini jelas bercanggah dengan dakwaan bahawa murid tidak mampu membaca, kerana kemahiran menulis memerlukan kefahaman yang baik,” katanya.

Mengulas isu ‘grade inflation’, beliau berkata data semasa menunjukkan tiada lonjakan luar biasa dalam jumlah pelajar cemerlang, malah terdapat penurunan kecil dalam bilangan tersebut.

Sebaliknya, peningkatan kadar lulus dan penurunan kadar gagal mencerminkan kejayaan sistem dalam mengurangkan keciciran pelajar.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kesan gangguan pembelajaran akibat pandemik COVID-19 turut memberi impak kepada prestasi pendidikan, namun pelbagai langkah pemulihan telah dilaksanakan secara sistematik oleh kerajaan.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak agar tidak menyebarkan naratif sensasi yang boleh mengelirukan masyarakat dan menjejaskan keyakinan terhadap sistem pendidikan negara.

“Pendidikan negara memang tidak sempurna, namun ia juga tidak seteruk yang digambarkan. Perbincangan harus berasaskan fakta dan konteks, bukan persepsi yang dimanipulasi,” katanya.

+ - reset