TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Jaga-jaga, penjawat awam muat naik aktiviti santai ketika WFH akan diambil tindakan

By
|
Kongsi
image

 

PUTRAJAYA 13 April – Penjawat awam diingatkan agar tidak memuat naik gambar atau kandungan di media sosial yang boleh menimbulkan persepsi negatif sepanjang tempoh bekerja dari rumah (BDR).

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Awang Alik Jeman menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pegawai yang didapati menyalahgunakan kemudahan tersebut sehingga menjejaskan imej perkhidmatan awam.

Beliau berkata, antara kandungan yang perlu dielakkan termasuk memuat naik gambar melakukan aktiviti riadah, bersiar-siar atau berada di lokasi yang tidak berkaitan dengan tugas rasmi pada waktu bekerja.

“Semasa BDR, jangan muat naik gambar atau hantaran di media sosial yang boleh disifatkan sebagai kita tidak menjalankan tugas. Contohnya, memuat naik gambar sedang bermain badminton, berjalan di kompleks beli-belah dan sebagainya.

“Saya beritahu awal, perkara seperti ini perlu dielakkan. Jika berlaku, tindakan tetap akan diambil tanpa pengecualian. Jangan ambil perkara yang boleh memudaratkan diri sendiri,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri Malaysia hari ini.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kemudahan BDR bukan alasan untuk penjawat awam gagal mencapai sasaran kerja yang ditetapkan.

Menurutnya, setiap pegawai perlu memastikan tahap produktiviti serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas walaupun bekerja dari rumah.

Sebelum ini, media melaporkan Mesyuarat Kabinet pada 1 April lalu bersetuju melaksanakan dasar BDR bermula 15 April ini.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dilaporkan berkata pelaksanaan itu melibatkan kementerian, agensi, badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan.

+ - reset