TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pelajar perempuan alami gangguan histeria dikesan berdiri di koridor sekolah di Bachok

By
|
Kongsi
image

BACHOK 15 April – Seorang pelajar perempuan Tingkatan Dua mencetuskan detik cemas di sebuah sekolah di sini apabila dikesan berdiri di koridor tingkat satu bangunan sekolah selepas dipercayai mengalami gangguan histeria, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin memaklumkan bahawa kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari selepas mangsa menunjukkan tingkah laku luar kawalan di dalam kelas sebelum bertindak keluar melalui tingkap.

Usaha guru-guru untuk menenangkan remaja berkenaan pada mulanya gagal apabila mangsa dilaporkan bertindak agresif serta berada dalam keadaan seolah-olah tidak menyedari perbuatannya.

Pihak sekolah segera mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang kemudiannya berjaya menurunkan pelajar terbabit dengan selamat selepas operasi menyelamat selama kira-kira setengah jam dijalankan.

Siasatan awal pihak polis mendapati pelajar berkenaan mempunyai sejarah gangguan histeria serta pernah mendapatkan rawatan tradisional dan kepakaran psikiatri bagi masalah kesihatan yang dihadapinya itu.

Mohamad Ismail menegaskan bahawa insiden tersebut bukanlah satu cubaan bunuh diri seperti yang tular di media sosial dan meminta masyarakat supaya tidak membuat spekulasi yang boleh mengeruhkan keadaan.

Remaja tersebut kini telah diserahkan kepada ibunya dalam keadaan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan fizikal manakala tiada laporan polis dibuat berhubung kejadian itu setakat ini.

+ - reset