TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Teringin belajar pandu bas punca wanita duduk di riba kekasih

By
|
Kongsi
image

JASIN 15 April – Seorang pemandu bas bersama pasangan kekasihnya telah ditahan pihak polis selepas satu klip video yang memaparkan aksi wanita tersebut diriba ketika kenderaan sedang bergerak tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert memaklumkan bahawa wanita berusia 21 tahun itu mendakwa perbuatan tersebut dilakukan kerana dia berasa teringin serta mahu belajar cara memandu bas.

Hasil keterangan awal mendedahkan bahawa wanita yang bekerja sebagai kerani kaunter tiket itu telah mengenali pemandu bas berusia 36 tahun berkenaan sejak lima bulan yang lalu.

Suspek wanita mendakwa aksi meriba itu hanya dilakukan dalam tempoh singkat ketika bas sedang melalui susur masuk di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Bemban arah selatan sebelum memasuki laluan utama lebuh raya.

Pemandu bas yang mempunyai pengalaman memandu selama 10 tahun itu dilaporkan sedang membawa kira-kira 24 orang penumpang dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur menuju ke Larkin Sentral, Johor Bahru ketika kejadian berlaku.

Kedua-dua suspek telah diambil keterangan selama dua jam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin sebelum ditahan untuk permohonan reman yang dijadualkan berlangsung di Mahkamah Majistret Jasin esok.

Kes kini sedang disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan yang boleh membawa hukuman penjara serta denda jika sabit kesalahan.

+ - reset