TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Guru wanita maut nahas lori ketika dalam perjalanan ke rumah pengasuh

By
|
Kongsi
image

PONTIAN 15 April – Seorang guru wanita dilaporkan maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 2.2 Jalan Sri Menanti-Parit Sikom, petang semalam.

Mangsa yang dikenal pasti sebagai Jamaliah Aris, 37, merupakan seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Mohd Yunos Sulaiman, Pekan Nanas. Kejadian tragis itu berlaku kira-kira jam 4 petang ketika mangsa dipercayai dalam perjalanan menuju ke rumah pengasuh anaknya.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Toyota Vios yang dipandu mangsa sedang keluar dari simpang Parit Basilam sebelum bertembung dengan sebuah lori Isuzu.

Akibat pelanggaran tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan kecemasan di Hospital Pontian.

Pemandu lori warga tempatan berusia 56 tahun itu dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan. Walau bagaimanapun, lelaki tersebut telah ditahan dan kenderaannya disita bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Hasil ujian saringan air kencing terhadap pemandu lori berkenaan didapati negatif daripada sebarang pengaruh dadah.

Pihak polis meminta mana-mana saksi yang melihat kejadian tersebut agar tampil ke Pejabat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian atau menghubungi Inspektor Tong Siew Fen di talian 010-2090396 bagi membantu melengkapkan siasatan.

+ - reset