TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Vetri MADANI dilancar, perkasa komuniti India dengan kemahiran masa depan

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR, 25 April — Usaha memperluas akses latihan kemahiran kepada komuniti India diperkukuh apabila Human Resource Development Corporation (HRD Corp) melancarkan program Vetri MADANI, inisiatif berimpak tinggi yang memberi fokus kepada pembangunan bakat dan kebolehpasaran tenaga kerja.

Program di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) itu memberi penekanan kepada peningkatan kemahiran, pengukuhan mobiliti kerjaya serta kesiapsiagaan tenaga kerja secara menyeluruh, khususnya dalam kalangan komuniti yang kurang mendapat perhatian.

Majlis pelancaran disempurnakan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan bersempena Karnival Vetri MADANI di Dewan Kandiah.

Penganjuran tersebut turut menghimpunkan komuniti setempat dalam suasana meriah, selain membuka ruang kepada orang ramai mengenali serta meneroka peluang pembangunan kemahiran.

Program berkenaan dijangka memberi impak langsung kepada kumpulan sasar melalui penyertaan dalam latihan berstruktur serta pendedahan kepada peluang peningkatan kemahiran, sekali gus memperkukuh komitmen KESUMA dalam memperluas akses kepada latihan berkualiti dan meningkatkan kesiapsiagaan tenaga kerja.

Selain itu, karnival berkenaan menarik kira-kira 1,000 pengunjung, mencerminkan tahap penglibatan komuniti yang tinggi.

Pelbagai aktiviti diadakan termasuk seni inai, lukisan muka, bengkel kreatif, sesi pocket talk serta pertandingan seperti catur, karom dan mewarna.

Program penglibatan itu bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai pembangunan kemahiran, laluan kerjaya dan pembelajaran sepanjang hayat.

Dengan peruntukan sebanyak RM10 juta, Vetri MADANI menyasarkan penyertaan 2,000 peserta di seluruh negara.

Program ini menawarkan pensijilan diiktiraf industri serta laluan kerjaya berstruktur bagi meningkatkan kebolehpasaran dan membuka peluang mobiliti pendapatan lebih baik.

Ramanan berkata, inisiatif tersebut bukan sekadar melibatkan angka, sebaliknya memberi peluang sebenar kepada peserta untuk mengubah kehidupan.

“Vetri MADANI direka untuk memperkasa komuniti India Malaysia melalui latihan komprehensif yang menumpukan kepada pembangunan kemahiran, mobiliti kerjaya dan kesiapsiagaan tenaga kerja, memberi manfaat kepada tenaga kerja sedia ada serta mereka yang sedang mencari pekerjaan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, program berkenaan turut memberi tumpuan kepada sektor berpermintaan tinggi dan berorientasikan masa depan seperti kecerdasan buatan, keselamatan siber, teknologi data dan awan, automasi, robotik serta kejuruteraan lanjutan.

Penyelarasan latihan dengan keperluan industri semasa dan masa hadapan dijangka menyokong pertumbuhan ekonomi negara melalui pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Pelaksanaan latihan akan dikendalikan oleh penyedia latihan berdaftar HRD Corp, dengan sokongan sistem tadbir urus dalam talian sepenuhnya serta pendekatan pembelajaran fizikal dan hibrid bagi memastikan akses lebih luas dan fleksibiliti kepada peserta.

Sementara itu, Ketua Eksekutif HRD Corp, Shamir Aziz berkata, program tersebut membuka peluang kepada individu berumur antara 16 hingga 50 tahun untuk meningkatkan kemahiran, kompetensi dan nilai profesional.

“Kami menggalakkan semua yang layak untuk merebut peluang ini dan HRD Corp kekal komited dalam menyokong mereka sepanjang perjalanan ini,” ujarnya.

Pelancaran Vetri MADANI mencerminkan komitmen berterusan KESUMA dan HRD Corp dalam membina ekosistem bakat yang inklusif, berdaya tahan serta bersedia menghadapi masa hadapan, di samping memastikan tiada komuniti tercicir dalam transformasi ekonomi negara. - Media Telus

+ - reset