TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Suspek kes azan disekat keluar negara

By
|
Kongsi
image

 

SHAH ALAM 26 April - Polis Selangor mengambil tindakan tegas dengan menyenaraihitamkan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam isu azan di Surau Taman Seraya bagi menghalangnya melarikan diri ke luar negara.

Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar berkata, langkah itu dilaksanakan melalui pekeliling khas sejurus kertas siasatan dibuka susulan beberapa laporan polis diterima, termasuk daripada Ahli Jawatankuasa (AJK) surau berkenaan.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Senarai Pekeliling khas itu bermaksud apabila telah didaftarkan di bawah senarai pekeliling khas ini, akan menyebabkan suspek menghadapi kesukaran untuk ke luar negara.

“Ini disebabkan nama suspek itu telah didaftarkan di lapangan-lapangan terbang sekiranya ada (suspek untuk keluar negara), akan dibuat tangkapan,” katanya ketika ditemui pada program Larian Diraja Selangor bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan masyarakat di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek kini sedang dikesan bagi membantu siasatan berhubung kenyataan tular berkaitan isu azan tersebut.

“Justeru, secepat mungkin sekiranya masyarakat mengetahui keberadaan beliau, kita berhubung dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya supaya dapat menyegerakan dan membantu siasatan,” katanya.

Menurut Shazeli, siasatan awal mendapati suspek merupakan warga tempatan dan antara penghuni taman berkenaan.

Tegasnya, motif sebenar tindakan suspek masih dalam siasatan.

“Jadi, beri kami ruang untuk menjalankan siasatan dengan telus dan adil kepada semua pihak yang terlibat. Insya-Allah kita akan update dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan kenyataan atau komen yang boleh mencetuskan kesalahan di bawah Akta Hasutan.

“Kita hendaklah menjaga keharmonian di satu kawasan tersebut. Jadi, saya menyeru kepada semua untuk mengawal emosi dalam membuat sebarang tindakan dan kenyataan supaya tidak mengguris dan boleh membuat satu kesalahan Akta Hasutan ataupun lain-lain kesalahan sehingga boleh membuat anda ditangkap,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan AJK Surau Taman Seraya membuat 10 laporan polis susulan dakwaan gangguan melibatkan seorang penduduk setempat yang didakwa mengeluarkan tuduhan berbaur fitnah serta ugutan terhadap pengerusi surau berkenaan.

+ - reset