TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis tahan pemandu bas rempuh 3 kenderaan lepas langgar lampu merah di Jalan Templer

By
|
Kongsi
image

PETALING JAYA 26 April - Pemandu bas ditahan selepas disyaki merempuh tiga kenderaan selepas melanggar lampu isyarat merah di Jalan Klang Lama di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu pada 8.06 malam semalam.

"Siasatan awal mendapati kemalangan jam 6.20 petang apabila bas jenis Nissan berwarna putih dipandu seorang lelaki tempatan melanggar lampu isyarat merah.

"Akibat tindakannya itu bas terbabit kemalangan dengan tiga kereta lain hingga menyebabkan kerosakan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, salah seorang mangsa yang memandu kereta mengalami kecederaan ringan tetapi individu lain termasuk pemandu bas tidak mengalami kecederaan.

Katanya, pemandu bas berusia 40 an ditahan dan direman tiga hari bermula hari ini sehingga lusa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Menurutnya, ujian saringan awal mendapati suspek negatif pengambilan dadah dan alkohol ketika kejadian itu.

"Pihak polis tidak akan berkompromi kepada pengguna jalan raya yang tidak mematuhi peraturan dan akan mengambil tindakan tegas kepada pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang.

"Saksi kejadian dimohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat trafik, Inspektor Mohd Nazar Md Kasim di talian 012-5653395 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222 bagi membantu siasatan," katanya. 

Terdahulu tular di media sosial satu klip video memaparkan kereta Perodua Myvi yang baru bergerak di satu persimpangan lampu isyarat dilanggar sebuah bas di bahagian bonet hadapan.

+ - reset