Berita Berita
Pra-Gawai Dayak ABS 2026 himpun anak Borneo, perkukuh warisan budaya
KUALA LUMPUR, 26 April - Komuniti anak-anak Borneo di Semenanjung terus memperkukuh jati diri dan semangat perpaduan menerusi penganjuran Majlis Makan Malam Pra-Gawai Dayak dan Sambutan Ulang Tahun Ke-7 Persatuan Anak Borneo Semenanjung (ABS) yang berlangsung meriah di Puchong malam tadi.
Program itu menjadi simbol kesatuan, kekuatan identiti serta hubungan erat dalam kalangan masyarakat Borneo di perantauan, di samping menzahirkan semangat kekeluargaan dan perpaduan.
Sepanjang tujuh tahun penubuhannya, ABS terus memainkan peranan sebagai jambatan yang menyatukan komuniti Borneo menerusi pelbagai program kebajikan, kebudayaan dan pembangunan masyarakat.
Majlis berkenaan dirasmikan Timbalan Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol yang menzahirkan penghargaan terhadap kepimpinan ABS dalam memelihara budaya serta adat resam masyarakat Borneo.
"Malaysia terkenal sebagai sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian kaum, agama dan budaya. Dalam kepelbagaian inilah terletaknya kekuatan kita sebagai sebuah negara bangsa.
"Walaupun berbeza latar belakang, kita dapat berkumpul dalam suasana harmoni, saling menghormati dan meraikan kepelbagaian sebagai satu kelebihan, bukannya perbezaan yang memisahkan," katanya.
Majlis itu turut diadakan bersempena sambutan Hari Gawai Dayak yang bakal diraikan tidak lama lagi, iaitu perayaan penting masyarakat Dayak di Sarawak sebagai tanda kesyukuran atas hasil tuaian dan rezeki.
Dalam masa sama, penghormatan turut diberikan kepada masyarakat Sabah yang akan menyambut Pesta Kaamatan, perayaan menuai yang melambangkan kesyukuran, kebersamaan dan keharmonian masyarakat.
Pelbagai elemen budaya tradisional termasuk busana etnik, muzik, tarian dan makanan warisan turut dipersembahkan, sekali gus menjadi platform memperkenalkan budaya Borneo kepada generasi muda dan masyarakat umum.
Mordi turut menyeru golongan belia agar menjadi penerus legasi budaya dengan terus memelihara adat tradisi di samping memperkasakan diri dengan ilmu, kemahiran dan kepimpinan.
"Kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kekal komited menyediakan pelbagai inisiatif pembangunan belia termasuk dalam bidang kesukarelawanan, keusahawanan, kepimpinan dan pembangunan komuniti," katanya.
Sementara itu, Presiden ABS, Ganging Ling Sanggau berkata pihaknya berharap dapat memperluas kerjasama strategik bersama Kementerian Belia dan Sukan.
Menurutnya, ABS telah menjalin kerjasama dengan Kementerian Perpaduan sejak 2022 dan merancang menganjurkan tiga program besar melibatkan belia Sabah dan Sarawak di Semenanjung.
"ABS merancang untuk mengadakan tiga program besar khusus untuk belia Sabah dan Sarawak di Semenanjung yang merangkumi aktiviti belia dan sukan serta kepimpinan dan keharmonian.
"ABS amat mengalu-alikan kerjasama jika dapat dilaksanakan bersama KBS. Untuk pengetahuan program ini akan memakan perbelanjaan yang agak tinggi, namun pada masa sama ia dapat mempromosikan dan memartabatkan warisan budaya Borneo," katanya. - Media Telus
Berita berkaitan
April 26, 2026, 8:21 pm
Polis tahan pemandu bas rempuh 3 kenderaan lepas langgar lampu merah di Jalan Templer
April 26, 2026, 1:27 pm
'Lebih baik letak jawatan, kalau titah Tuanku Sultan pun tidak diambil berat' - Azmin
April 26, 2026, 1:14 pm
Polis siasat kes kelucahan melampau berhampiran UiTM Dungun
April 26, 2026, 11:24 am
Suspek kes azan disekat keluar negara
April 26, 2026, 11:02 am
Isu babi: 'DAP hormat institusi diraja, tapi tetap pertahan hak bersuara ADUN' - Anthony Loke
April 26, 2026, 10:47 am
Trump, Melania selamat dalam insiden tembakan di White House, seorang suspek ditahan
April 25, 2026, 8:29 pm
Vetri MADANI dilancar, perkasa komuniti India dengan kemahiran masa depan
April 25, 2026, 5:39 pm
Azam Baki seru warga SPRM sokong kepimpinan baharu
April 25, 2026, 5:25 pm
