TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

10 ditahan termasuk pegawai kanan imigresen seludup warga asing di Bukit Kayu Hitam

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 26 April - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan satu sindiket penyeludupan migran menerusi Op ‘Toyu’ dengan penahanan 10 individu termasuk seorang pegawai kanan jabatan itu di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah, Sabtu lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Zakaria Shaaban berkata, operasi khas yang bermula jam 12.50 tengah hari itu dijalankan hasil risikan selama sebulan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama JIM Kedah serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan.

"Antara yang ditahan ialah seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Thailand dipercayai ‘ejen’ dikenali sebagai ‘Toyu’ yang mengatur kemasukan warga asing, serta seorang lelaki tempatan yang bertindak sebagai ‘transporter’.

"Turut ditahan lima lelaki warga India, seorang lelaki warga Pakistan dan seorang pegawai kanan JIM yang dipercayai berperanan sebagai ‘pemudah cara’,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, semakan awal mendapati seorang warga India yang ditahan merupakan individu disenaraihitam manakala warga Pakistan menggunakan e-visa dipercayai palsu, sementara yang lain adalah imigran larangan.

Zakaria berkata, dalam operasi itu, pihak berkuasa menyita lima pasport India, satu pasport Pakistan, pas sempadan Malaysia dan Thailand, cap keselamatan imigresen, 12 telefon bimbit serta wang tunai berjumlah INR30,000 selain turut dirampas sebuah Nissan Sentra serta dua motosikal Honda Wave dan Honda EX5.

"Modus operandi sindiket adalah membawa masuk warga asing, khususnya dari India, melalui pintu masuk darat secara terancang dengan bantuan ‘transporter’ yang menyamar sebagai pemandu teksi, sebelum pegawai terlibat menurunkan endorsement walaupun tidak memenuhi syarat.

"Sindiket itu mengenakan bayaran RM1,000 bagi setiap individu, dengan RM400 disalurkan kepada pegawai bagi setiap pasport, dan dipercayai beroperasi sejak awal tahun sehingga menyebabkan ketirisan hasil negara dianggarkan RM4.1 juta,” katanya.

Beliau berkata, dua lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warganegara Thailand ditahan kerana dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan seorang lelaki warga tempatan ditahan di bawah Seksyen 26J ATIPSOM.

"Seramai lima lelaki warganegara India pula ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(3) Akta Imigresen 1959/63 dan seorang lelaki warga Pakistan ditahan di bawah Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen.

"Kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Negeri Kedah untuk tindakan lanjut dan seramai dua lelaki dan dua perempuan warga tempatan telah dikeluarkan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” katanya.

Zakaria berkata, JIM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran termasuk pegawainya, bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara terus terpelihara. - Bernama

+ - reset