Berita Berita
Pelantikan Abdul Halim ujian besar keupayaan SPRM laksana reformasi – Nurul Izzah
KUALA LUMPUR 26 April - Pelantikan Ketua Pesuruhjaya baharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disifatkan sebagai ujian besar terhadap integriti institusi itu, selain membuka ruang kepada reformasi menyeluruh dalam usaha memerangi rasuah.
Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, pelantikan Abdul Halim Aman bukan sekadar pengumuman biasa, sebaliknya mencerminkan keperluan kepada keberanian dan ketegasan dalam menegakkan keadilan.
"Pelantikan ini bukan sekadar tajuk berita, ia adalah satu ujian dan pada masa yang sama satu peluang, bagi institusi kita, bagi kepimpinan kita, dan bagi tekad kolektif kita sebagai sebuah negara.
"Hakikat yang tidak boleh disangkal ialah integriti bukanlah suatu gelaran. Ia melangkaui istiadat dan kenyataan media.
"Pelantikan ini, yang dilaksanakan melalui peruntukan Perlembagaan dengan peranan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, membawa ruang yang jelas untuk perubahan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Semalam, media melaporkan bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Abdul Halim dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu berkuat kuasa 13 Mei ini.
Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar dilaporkan berkata, Sultan Ibrahim memperkenankan pelantikan Abdul Halim ke jawatan tersebut.
Pada masa sama, Nurul Izzah berkata, perubahan tidak akan berlaku hanya dengan pelantikan individu, sebaliknya memerlukan keberanian, iltizam serta penglibatan aktif rakyat.
"Jangan berpaling. Jangan biarkan detik ini berlalu begitu sahaja. Teruslah membabitkan diri kerana perubahan tidak berlaku ke atas kita, ia berlaku kerana kita.
"Bertahun-tahun lamanya, ramai yang menzahirkan desakan demi desakan. Kita mendesak tatkala ia tidak selesa. Kita mendesak ketika disaran menunggu, disaran bersabar, disaran mempercayai proses.
"Kita tetap terus mendesak kerana rakyat Malaysia berhak kepada sebuah badan pencegah rasuah yang tunduk kepada undang-undang, bukan kepada yang berkuasa, bukan kepada jaringan kepentingan, dan bukan kepada sesiapa yang namanya disiasat," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pelantikan baharu tidak secara automatik menjamin pembaharuan institusi.
Menurutnya, pengalaman lalu menunjukkan pelantikan yang diraikan akhirnya boleh terjejas dengan keraguan, kompromi dan kelewatan dalam menegakkan keadilan.
"Kita tidak boleh dan tidak mampu mengulangi kegagalan itu. Reformasi sebenar kadangkala tidak lantang. Ia tidak semestinya menarik perhatian.
"Ia berlaku melalui semakan terhadap Akta SPRM. Ia berlaku melalui pengukuhan perlindungan institusi. Ia berlaku melalui kebertanggungjawaban yang sebenar kepada Parlimen, bukan sekadar formaliti, tetapi sebagai asas yang kukuh.
"Tanpa perubahan struktur ini, segala kemajuan yang diraikan hari ini berisiko runtuh pada hari esok," katanya.
Berita berkaitan
April 26, 2026, 9:33 pm
10 ditahan termasuk pegawai kanan imigresen seludup warga asing di Bukit Kayu Hitam
April 26, 2026, 8:21 pm
Polis tahan pemandu bas rempuh 3 kenderaan lepas langgar lampu merah di Jalan Templer
April 26, 2026, 6:05 pm
Pra-Gawai Dayak ABS 2026 himpun anak Borneo, perkukuh warisan budaya
April 26, 2026, 1:27 pm
'Lebih baik letak jawatan, kalau titah Tuanku Sultan pun tidak diambil berat' - Azmin
April 26, 2026, 1:14 pm
Polis siasat kes kelucahan melampau berhampiran UiTM Dungun
April 26, 2026, 11:24 am
Suspek kes azan disekat keluar negara
April 26, 2026, 11:02 am
Isu babi: 'DAP hormat institusi diraja, tapi tetap pertahan hak bersuara ADUN' - Anthony Loke
April 26, 2026, 10:47 am
Trump, Melania selamat dalam insiden tembakan di White House, seorang suspek ditahan
April 25, 2026, 8:29 pm
