TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis sahkan tidak puas hati jalan sesak ketika solat Jumaat punca lelaki ingkar titah Sultan Selangor

By
|
Kongsi
image

 

SHAH ALAM 28 April - Ketidakpuasan hati terhadap kesesakan lalu lintas ketika solat Jumaat dikenal pasti sebagai punca seorang lelaki bertindak ingkar titah Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung pelaksanaan solat Jumaat di Taman Seraya, Ampang.

Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar berkata, siasatan awal mendapati tindakan suspek lelaki tempatan berusia 46 tahun itu bersifat individu tanpa pengaruh mana-mana pihak.

“Ketidakpuasan hati terhadap keadaan lalu lintas ketika solat Jumaat menjadi pencetus utama tindakannya.

“Namun, polis masih terus menjalankan soal siasat sekiranya wujud elemen-elemen lain. Ini kerana kita menjalankan siasatan pelbagai aspek dan sudut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, hari ini.

Menurutnya, suspek yang masih direman disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Shazeli berkata, siasatan turut mendapati suspek tidak bekerja dalam tempoh tertentu dan menetap di kawasan perumahan berkenaan.

“Insya-Allah, kita akan serahkan kertas siasatan yang telah lengkap nanti kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.

Beliau menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam, khususnya melibatkan isu 3R.

“Saya menasihati masyarakat di luar sana untuk sentiasa mengamalkan toleransi yang tinggi kerana kita duduk di dalam sebuah negeri dan negara yang berbilang kaum.

“Juga kita perlu mengawal percakapan dan juga tingkah laku. Sekiranya percakapan tersebut difikirkan boleh mendatangkan kemudaratan, adalah lebih baik kita berdiam diri ataupun laksanakan dalam suatu medium yang tertutup. Sekiranya dilakukan secara medium terbuka akan menimbulkan implikasi daripada aspek sosial,” katanya.

Terdahulu, suspek ditahan kira-kira pukul 3 petang di sekitar Pandan Indah pada Ahad lalu dan namanya dimasukkan dalam pekeliling khas bagi menghalang sebarang cubaan melarikan diri ke luar negara. – KOSMO! ONLINE

+ - reset