TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

KKM arah audit besar-besaran Hospital Ampang susulan pelbagai isu infrastruktur makin uzur, sistem digital

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 30 April - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengarahkan audit struktur dan digital secara menyeluruh dilaksanakan di Hospital Ampang susulan pelbagai isu yang berpunca daripada infrastruktur fasiliti berkenaan yang semakin uzur.

Menterinya, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu diambil bagi memastikan keselamatan pesakit terus menjadi keutamaan, selain memulihkan operasi hospital ke tahap normal dalam kadar segera.

Dalam hantaran di media sosial, beliau memaklumkan gangguan Sistem Maklumat Hospital (eHIS) berpunca daripada ralat penyelenggaraan teknikal yang menjejaskan beberapa modul sistem.

“Pasukan teknikal sedang menjalankan system synchronisation dan pengesahan integriti data. Pelan Kesinambungan Perkhidmatan (BCP) diaktifkan untuk memastikan penjagaan klinikal diteruskan secara manual tanpa gangguan,” katanya selepas lawatan ke hospital itu bagi meninjau proses pemulihan.

Mengulas kapasiti diagnostik, beliau berkata projek penggantian mesin imbasan CT kini hampir siap dan dijangka beroperasi semula menjelang 1 Mei melalui model pajakan baharu.

Menurutnya, KKM turut menyemak semula protokol perolehan bagi mengelakkan sebarang kelompangan dalam tempoh peralihan pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Dzulkefly menjelaskan isu kebocoran di kompleks bilik bedah (OT) baru-baru ini berpunca daripada paip air dalam sistem pengudaraan.

“Walaupun pembaikan diselesaikan dengan cepat, kami kini menjalankan proses sterilisasi mandatori, pembersihan terminal dan audit partikel udara. Tidak akan ada kompromi, bilik bedah hanya akan dibenarkan beroperasi semula sebaik sahaja pematuhan audit kawalan infeksi 100 peratus,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan hospital atas dedikasi mereka dalam menghadapi cabaran berkenaan, sambil menegaskan komitmen kerajaan untuk memperkukuh infrastruktur kesihatan yang lebih berdaya tahan dan selamat demi kesejahteraan rakyat.

+ - reset