Berita Berita
10 rakyat Malaysia termasuk ZRA sertai misi GSF 2.0 ditahan Israel di Perairan Crete
BANGI 30 April - Sepuluh rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 disahkan antara individu yang ditahan tentera Zionis di Kepulauan Crete, Greece, hari ini.
Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) memaklumkan insiden itu berlaku ketika kesemua mereka berada di atas enam kapal yang menyertai konvoi misi berkenaan.
Ketua Pengarah SNCC, Datuk Ahmad Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, penahanan berlaku antara jam 1 hingga 11 pagi waktu Malaysia, bersamaan 6 petang waktu Greece.
Menurut beliau, rakyat Malaysia yang terlibat terdiri daripada wartawan veteran dan aktivis kemanusiaan, Zainal Rashid Ahmad atau dikenali sebagai ZRA yang menaiki kapal Arkham lll, Osman Zolkifli dan Dr Jihan Alya Mohd Nordin (kapal Eros 1), Mohd Shamsir Mohd Isa (kapal Esplai), Hazwan Hazim Dermawan, Mohd Hanafi Mohd Salim, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman, Norhelmi Ab Ghani (kapal Bianca BCN), Mohd Redzal Amzah (kapal Freia) serta Muhamad Muhzin Zaidi (kapal Marea).
Beliau berkata, kapal terbabit dihampiri secara agresif oleh tentera Zionis ketika berada dalam kedudukan 656 batu nautika iaitu zon pelayaran yang sah dan dijamin sepenuhnya.
“Kali terakhir SNCC dapat berhubung dengan kapal terbabit adalah kira-kira empat jam lalu sebelum terputus hubungan.
“Berlaku provokasi dan Pasukan Pertahanan Israel (IOF) melepaskan tembakan amaran dan gangguan frekuensi radio.
“Tiada maklumat lanjut mereka ditahan dan diculik secara tidak sah dan akan disahkan dalam masa terdekat.
“Pihak keluarga juga akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya ketika sidang media khas SNCC di Wisma Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dekat Bandar Bukit Mahkota, di sini hari ini.
Terdahulu, SNCC memaklumkan misi Global Sumud Flotilla (GSF) telah memulakan pelayaran dengan 56 kapal berlepas dari Pelabuhan Catania, Itali bagi meneruskan misi kemanusiaan ke Gaza.
Menurut SNCC, seramai 36 rakyat Malaysia terlibat dalam misi berkenaan yang terdiri daripada jurutera bot, kapten, pasukan perubatan, kru kapal penganjur serta peserta, dan kesemua mereka berada dalam keadaan sihat serta bersemangat tinggi untuk meneruskan fasa pelayaran.
Berita berkaitan
April 30, 2026, 8:51 pm
KESUMA jamin kebajikan pekerja kekal terpelihara hadapi ketidaktentuan global
April 30, 2026, 6:59 pm
DAPSY 'menekan', Akmal Salleh cabar pecat semua menteri UMNO, bukan Tok Mat sahaja
April 30, 2026, 4:18 pm
Muhammad Gaddafi Musli dilantik CEO baharu SSDU bermula 4 Mei
April 30, 2026, 10:35 am
