TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

KESUMA jamin kebajikan pekerja kekal terpelihara hadapi ketidaktentuan global

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 30 April – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memberi jaminan kebajikan pekerja negara akan terus dilindungi dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi global, termasuk risiko kehilangan pekerjaan pada masa hadapan.

Menterinya, Ramanan Ramakrishnan berkata, setakat ini situasi pasaran buruh negara masih terkawal, disokong oleh kestabilan ekonomi di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, kerajaan telah menyediakan pelbagai mekanisme perlindungan sosial menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), termasuk Skim Insurans Pekerjaan (SIP) melalui program Lindung Kerjaya.

Selain itu, perlindungan turut diperluaskan melalui inisiatif Lindung Pekerja, Lindung Kasih dan Lindung Kendiri bagi memastikan semua kategori tenaga kerja mendapat jaminan keselamatan sosial.

“Juga ada latihan-latihan bawah kementerian khususnya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), dan platform MYFutureJobs yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memadankan peluang pekerjaan tanpa berlakunya ketidakpadanan kemahiran.

“Kita juga melaksanakan program upskilling dan reskilling untuk membantu pekerja meningkatkan kemahiran mereka bagi menghadapi cabaran krisis global ini,” katanya dalam program Agenda AWANI: Hari Pekerja 2026: Dinamik Tenaga Kerja Malaysia.

Menurut beliau, krisis ekonomi yang berlaku ketika ini merupakan fenomena global dan kerajaan akan terus mengambil langkah proaktif bagi memastikan kesejahteraan pekerja sentiasa terpelihara.

Dalam perkembangan berkaitan, Ramanan berkata penguatkuasaan Akta Pekerja Gig 2025 pada 31 Mac lalu memperkukuh kebajikan pekerja tidak formal apabila golongan itu kini diiktiraf sebagai sebahagian penting tenaga kerja negara.

Melalui akta berkenaan, pekerja gig kini menikmati perlindungan perburuhan asas, selaras dengan usaha Kerajaan MADANI untuk memperluaskan liputan keselamatan sosial serta memastikan layanan adil kepada golongan tersebut.

Sambutan Hari Pekerja 2026 dijangka himpun 10,000 peserta, tawar ribuan peluang kerja

KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Pekerja 2026 bertemakan ‘Pekerja MADANI KESUMA Bangsa’ dijangka menghimpunkan lebih 10,000 pekerja daripada sektor awam dan swasta di seluruh negara.

Menteri Sumber Manusia, Ramanan Ramakrishnan berkata, program utama akan berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil bermula 1 hingga 3 Mei.

“Juga akan ada pengumuman-pengumuman penting yang akan dibuat oleh Perdana Menteri,” katanya merujuk kepada Anwar Ibrahim.

Menurutnya, karnival sempena sambutan itu dijangka menarik lebih 30,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran.

Acara tersebut akan menampilkan lebih 50 pempamer terdiri daripada kementerian, agensi kerajaan serta pemain industri yang menawarkan pelbagai perkhidmatan dan peluang kepada rakyat.

Dalam masa sama, Karnival Kerjaya anjuran MYFutureJobs turut diadakan dengan penyertaan 30 majikan yang menawarkan kira-kira 4,000 kekosongan jawatan.

Peluang pekerjaan yang disediakan meliputi pelbagai sektor dengan tawaran gaji antara RM2,500 hingga RM16,000, sekali gus membantu pencari kerja mendapatkan padanan kerjaya yang bersesuaian.

+ - reset