TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

‘Saya hantar anak saya sihat , sekarang terlantar tak sedarkan diri’ - Anggota komando parah disyaki didera, keluarga tuntut penjelasan

By
|
Kongsi
image

Oleh AZIM SAID

PETALING JAYA  30 April 2026 – Seorang anggota tentera dari Rejimen Gerak Khas, Trooper Abdul Hamid Talib, kini berada dalam keadaan kritikal selepas mengalami kecederaan serius yang didakwa berpunca daripada insiden hukuman semasa latihan di Kem Iskandar di Mersing, Johor.

Menurut peguam, N. Surendran, mangsa yang berusia 25 tahun itu telah dimasukkan ke hospital sejak 11 Mac lalu dan kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Beliau tidak sedarkan diri sepenuhnya, tidak mampu bercakap, makan, atau bergerak, serta bergantung kepada tiub untuk menerima nutrisi,” katanya.

Beliau mendakwa bahawa kecederaan tersebut bukan disebabkan jatuh seperti yang dimaklumkan pihak kem, sebaliknya dipercayai berlaku akibat hukuman fizikal yang dikenakan ke atas mangsa.

Lebih membimbangkan, hukuman itu didakwa bukan berpunca daripada kesalahan mangsa sendiri, tetapi sebagai pengajaran kepada anggota lain.

“Kami mempunyai maklumat daripada saksi bahawa mangsa telah dikenakan hukuman fizikal yang membawa kepada kecederaan parah ini.

“Penjelasan bahawa beliau hanya ‘jatuh’ adalah tidak munasabah,” jelasnya.

Keluarga turut meluahkan kekecewaan terhadap ketiadaan penjelasan rasmi daripada pihak tentera, Kementerian Pertahanan, mahupun kerajaan sejak insiden tersebut berlaku hampir dua bulan lalu.

Mereka juga mendakwa tiada bantuan kewangan mencukupi diberikan, walaupun kos rawatan dan penjagaan mangsa amat tinggi.

Peguam Suzana Norlihan berkata hanya sekitar RM500 diberikan pada peringkat awal, sebelum meningkat kepada kira-kira RM1,500 selepas isu tersebut mula mendapat perhatian umum.

"Difahamkan terdapat sumbangan peribadi sekitar RM4,000, namun jumlah keseluruhan itu masih jauh daripada mencukupi bagi menampung kos rawatan dan penjagaan rapi mangsa yang berterusan," jelasnya lagi. 

Selain itu, laporan polis yang dibuat pada 14 Mac lalu di IPD Mersing masih belum menunjukkan perkembangan ketara dan tiada sebarang pertuduhan dikenakan setakat ini.

Dalam sidang media tersebut, keluarga mangsa menuntut agar pihak kerajaan dan tentera tampil memberikan penjelasan segera berhubung kejadian sebenar yang menyebabkan kecederaan parah tersebut.

Mereka turut menggesa supaya satu siasatan menyeluruh dijalankan oleh pihak polis, termasuk penglibatan pasukan khas dari Bukit Aman bagi memastikan ketelusan.

Dalam masa yang sama, keluarga turut menekankan keperluan untuk menggantung semua individu yang dipercayai terlibat sementara siasatan dijalankan bagi mengelakkan gangguan terhadap proses penyiasatan.

“Seterusnya, kes ini wajar diklasifikasikan sebagai cubaan membunuh memandangkan tahap kecederaan yang dialami mangsa, selain mendesak agar tindakan undang-undang diambil terhadap mana-mana pihak yang bertanggungjawab tanpa mengira pangkat,” jelas N. Surendran .

Mereka turut mencadangkan penubuhan suruhanjaya khas oleh yang DIpertuan Agong bagi menyiasat bukan sahaja kes ini, malah kemungkinan kewujudan amalan hukuman fizikal tidak sah di kem-kem tentera lain.

Peguam turut menegaskan bahawa hukuman fizikal terhadap anggota tentera adalah pelanggaran peraturan Angkatan Tentera, dan jika dakwaan ini benar, ia merupakan pelanggaran serius undang-undang.

Ibu mangsa, Josmah Duin yang turut hadir dalam sidang media, meluahkan kesedihan mendalam terhadap keadaan anaknya.

“Saya hantar anak saya dalam keadaan sihat. Sekarang dia jadi begini.

“Saya tidak boleh terima apa yang berlaku,” katanya.

Kes ini menimbulkan persoalan serius mengenai keselamatan dan kebajikan anggota tentera, serta ketelusan pihak berkuasa dalam menangani insiden melibatkan institusi pertahanan negara.

+ - reset