TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dua kes kanak-kanak lemas jatuh longkang, Amirudin minta PBT ambil tindakan segera

By
|
Kongsi
image

 

SHAH ALAM 4 Mei – Kerajaan Selangor mengarahkan siasatan terperinci dijalankan susulan dua kejadian kanak-kanak terjatuh ke dalam longkang hingga membawa kepada insiden lemas di negeri itu, yang menimbulkan kebimbangan serius terhadap aspek keselamatan persekitaran ketika cuaca hujan lebat.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, pihaknya memandang berat kedua-dua insiden berkenaan dan mahu punca sebenar dikenal pasti selain langkah penambahbaikan segera diambil.

Menurutnya, kejadian pertama membabitkan kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang ketika hujan lebat di Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor semalam.

"Maklumat awal mendapati mangsa dipercayai berada di kawasan berkenaan bersama beberapa individu lain sebelum kejadian berlaku, namun siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.

Beliau berkata, satu lagi kejadian membabitkan kanak-kanak perempuan, Nur Qaseh Deandra Mohd Qayyum, 9, yang dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang di Bandar Mahkota Cheras sebelum mayatnya ditemukan di Sungai Langat.

"Kita masih meneliti butiran penuh kejadian sama ada mangsa bermain di kawasan itu atau terjatuh ketika mengambil bola dan sebagainya,” katanya.

Amirudin berkata, kedua-dua kejadian itu menunjukkan kemungkinan wujud kelemahan dari segi pemantauan serta tahap keselamatan di kawasan berisiko termasuk longkang dan sistem perparitan.

"Isu keselamatan longkang memang perlu diberi perhatian dan PBT (pihak berkuasa tempatan) akan mengambil tindakan terhadap kawasan di bawah seliaan mereka,” katanya.

Beliau menegaskan, aspek keselamatan bukan hanya tanggungjawab pihak berkuasa semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa dan masyarakat.

"Bukan ibu bapa sahaja, tetapi masyarakat juga perlu memainkan peranan dengan memastikan kanak-kanak tidak bermain di kawasan berbahaya terutama ketika hujan," jelas beliau.

Menurutnya, bagi kawasan sungai yang luas dan sukar dikawal sepenuhnya, pendekatan seperti mewujudkan zon penampan atau kawasan larangan perlu dipertimbangkan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

"Langkah pencegahan perlu dipertingkatkan supaya insiden seumpama ini tidak lagi berlaku pada masa hadapan," tambah beliau.

Sementara itu, Amirudin berkata status Hutan Simpan Ayer Hitam kekal seperti sedia ada dan dakwaan yang mengaitkan kawasan itu sebagai telah digazetkan atau terjejas adalah tidak tepat.

Menurutnya, perkara itu masih dibincangkan di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), namun setakat ini tiada perubahan terhadap status hutan simpan berkenaan.

"Kita sedang tunggu kertas (MMKN) sebab isu yang dibangkitkan penduduk adalah berkaitan laluan masuk melalui kawasan itu.

"Kalau setakat laluan masuk, saya tak risau dan kita boleh uruskan dengan pihak berkaitan," jelas beliau.

Mengulas dakwaan terdapat pihak yang tidak dipanggil dalam sesi libat urus, Amirudin berkata beliau telah mengadakan pertemuan dengan wakil rasmi penduduk termasuk persatuan penduduk, pihak masjid dan beberapa persatuan lain.

"Kalau mereka kata tidak dipanggil, saya sudah jumpa wakil rasmi. Saya rasa tiada isu kerana perkara sama sudah saya terangkan kepada mereka," jelas beliau.

Beliau turut memaklumkan isu tanah berkenaan mempunyai sejarah panjang termasuk perwartaan pada 1926, perjanjian pada 2012 serta penyelesaian di peringkat mahkamah pada 2017 dan 2019.

Katanya, tuntutan penduduk sebelum ini lebih kepada permintaan laluan masuk serta jaminan tiada pembangunan dilakukan di kawasan berkenaan.

"Itu permintaan mereka dan kerajaan negeri sebagai pemilik tanah berdasarkan keputusan mahkamah akan mempertimbangkan perkara tersebut mengikut saluran yang betul," tambah beliau.

+ - reset