TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Van persiaran terbabas di lebuh raya PLUS, sembilan cedera termasuk kanak-kanak

By
|
Kongsi
image

ALOR GAJAH 4 Mei – Sembilan individu berdepan detik cemas apabila van persiaran yang dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbabas di Kilometer 213.4 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.18 pagi itu, van jenis Toyota Hiace tersebut membawa lapan pelancong warga India dan seorang pemandu lelaki warga tempatan sebelum terbabas ke bahu jalan.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.

"Dua kanak-kanak lelaki warga asing serta pemandu van mengalami kecederaan ringan dan telah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Enam lagi penumpang lain, termasuk seorang kanak-kanak lelaki, dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan.

Operasi yang turut mendapat bantuan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.14 pagi selepas pihak bomba memastikan kawasan kemalangan berada dalam keadaan selamat.

+ - reset