TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Mengapa beritahu keluarga yang mangsa jatuh bilik air?' - Keluarga komando bidas menteri pertahanan, dakwa tak telus

By
|
Kongsi
image

Keluarga Truper Abdul Hamid Desak Penjelasan Telus Menteri Pertahanan

KUALA LUMPUR 4 Mei - Keluarga Truper Abdul Hamid Talib, anggota komando yang kini berada dalam keadaan vegetatif selepas insiden di sebuah kem tentera di Johor, membidas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kerana didakwa gagal memberikan penjelasan menyeluruh berhubung kejadian itu.

Kritikan itu dibuat susulan kenyataan ringkas menteri berkenaan pada Khamis lalu yang menurut keluarga hanya menimbulkan lebih banyak persoalan berbanding jawapan.

Peguam keluarga, N Surendran mempersoalkan sikap kementerian yang didakwa tidak telus mengenai kejadian sebenar menimpa anggota Pasukan Khas Tentera Darat itu, yang dipercayai berpunca daripada hukuman fizikal.

“…menteri pertahanan tidak memberikan penjelasan mengapa keluarga truper Abdul Hamid dimaklumkan bahawa dia mengalami kecederaan teruk tersebut akibat terjatuh di bilik mandi.

“Ini jelas tidak benar, dan pihak polis sendiri telah mengesahkan bahawa dua anggota tentera telah ditahan dan sedang disiasat berhubung kecederaan yang dialami oleh truper Abdul Hamid.

“Mengapa maklumat yang tidak tepat diberikan kepada keluarga? Siapakah yang bertanggungjawab dan apakah tindakan yang telah diambil terhadap mereka?” katanya dalam satu kenyataan.

Surendran berkata menteri itu juga gagal menjelaskan mengapa mangsa hanya dibawa ke hospital pada 12 Mac, sehari selepas dia rebah yang didakwa akibat serangan fizikal.

“…menteri juga gagal menyatakan sama ada semua komander dan pegawai tentera yang bertanggungjawab telah digantung tugas sementara siasatan dijalankan.

“Bagaimana siasatan yang berkesan dan menyeluruh boleh dijalankan jika semua pihak yang berpotensi bersalah masih bertugas aktif di kem tersebut?” tambahnya.

Menurut beliau, keluarga mangsa menuntut Khaled dan kerajaan menjelaskan bagaimana hukuman fizikal itu dikenakan ke atas Hamid serta sama ada tindakan sedemikian dibenarkan oleh kementerian.

Mereka juga mahu kementerian mendedahkan kepada umum hasil siasatan dalaman yang dijalankan pihak tentera berhubung insiden berkenaan.

Minggu lalu, media melaporkan Hamid mengalami kecederaan parah ketika berada di Kem Iskandar, Mersing pada 11 Mac lalu.

Mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kepala sehingga sebahagian tempurung kepalanya terpaksa dibuang.

Anggota komando itu kini berada dalam keadaan vegetatif dan tidak mampu bercakap, makan atau mengenali persekitarannya, selain bergantung sepenuhnya kepada tiub serta alat bantuan pernafasan.

Khaled dalam satu kenyataan berkata kementerian menyerahkan siasatan kes berkenaan kepada pihak polis termasuk terhadap dua individu yang dipercayai terbabit.

Pada masa sama, katanya, Tentera Darat Malaysia turut menjalankan siasatan dalaman.

+ - reset