TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

KKM mohon potongan bajet RM3.04 bilion dikaji semula demi rakyat

By
|
Kongsi
image

Oleh AZIM SAID

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyuarakan pendirian tegas agar sebarang pemotongan bajet tidak menjejaskan perkhidmatan asas kesihatan yang menjadi nadi kepada kesejahteraan rakyat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan bahawa cadangan pemotongan sebanyak RM3.04 bilion sedang dalam proses pertimbangan semula oleh Perdana Menteri.

Menurut beliau, pihaknya amat menghargai keterbukaan Perdana Menteri dalam meneliti semula cadangan tersebut, terutama melibatkan sektor kritikal seperti perkhidmatan kesihatan dan sumber manusia.

“Saya merakamkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana sudi mempertimbangkan permohonan kami supaya pemotongan ini tidak dilaksanakan seperti cadangan asal,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa KKM telah mengemukakan cadangan balas kepada Ketua Setiausaha Negara (KSU), dengan penekanan bahawa sebarang pengurangan bajet hanya wajar melibatkan perkara bukan teras (non-essential), dan bukan aspek kritikal yang memberi kesan langsung kepada rakyat.

Menurutnya, antara perkara yang perlu dilindungi termasuk perkhidmatan kesihatan asas (essential services) keperluan sumber manusia seperti doktor dan jururawat dan projek pembangunan fasiliti kesihatan.

“Kalau boleh, kita tidak mahu ada pemotongan langsung.

“Namun jika perlu, biarlah ia melibatkan perkara yang tidak menyentuh perkhidmatan utama kepada rakyat,” tegas beliau.

Tambahnya lagi, pembangunan fasiliti kesihatan juga tidak boleh dianggap sebagai aspek sampingan, sebaliknya merupakan elemen penting dalam memastikan sistem kesihatan negara terus berfungsi dengan efisien.

Mengulas persoalan sama ada sektor pembangunan turut terkesan, beliau menjelaskan bahawa pembangunan kekal sebagai komponen penting.

“Pembangunan masih sebahagian daripada perkara mustahak untuk kita siapkan fasiliti kesihatan, selain memastikan jawatan dan perkhidmatan dapat disediakan dengan baik,” katanya.

Kenyataan ini mencerminkan kebimbangan KKM bahawa pemotongan bajet secara menyeluruh boleh memberi kesan langsung kepada kualiti perkhidmatan kesihatan awam, termasuk akses rawatan, keselesaan pesakit, dan keupayaan sistem menangani penyakit kronik serta kecemasan.

Dengan rundingan masih berjalan, tumpuan kini terarah kepada keputusan akhir kerajaan sama ada keseimbangan antara penjimatan fiskal dan keperluan rakyat dapat dicapai tanpa mengorbankan sektor kesihatan.

+ - reset