Berita Berita
Presiden NGO Ikhlas mengaku tidak bersalah buat tohmahan terhadap MAIS isu tunggakan hutang
PUTRAJAYA 4 Mei - Seorang aktivis dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membuat tohmahan terhadap Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang dikaitkan dengan isu bayaran tunggakan pembinaan masjid, tiga minggu lalu.
Mohd Ridzuan Abdullah, 58, yang juga presiden sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Ezrene Zakariah.
Mengikut pertuduhan, ahli perniagaan itu didakwa membuat tohmahan dengan mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa kenyataan berkenaan akan merosakkan reputasi MAIS.
Perkataan yang dipersoalkan itu mengaitkan kontraktor, majlis berkenaan serta masjid dengan dakwaan tunggakan hutang, selain turut menyentuh isu penggunaan nama Istana.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bangunan Perdana, Jabatan Perdana Menteri di sini kira-kira jam 1 tengah hari pada 13 April lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Sazali Omar menawarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam T Ravindran yang mewakili tertuduh memohon jumlah ikat jamin dikurangkan dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap, hanya menjual produk kesihatan serta pernah dijangkiti virus pada Jun tahun lalu.
“Pendapatannya umpama ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ selain perlu menyara keluarga bersama isteri yang juga suri rumah.
“Dia adalah bekas calon Parlimen Kuala Langat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 pada 2022, sekali gus menunjukkan dia akan memenuhi semua syarat yang ditetapkan mahkamah,” katanya.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Majistret Ezrene membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pada 16 April lalu, MAIS dilaporkan sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang termasuk memfailkan saman fitnah terhadap pihak yang menyebarkan dakwaan tidak benar berhubung isu tunggakan bayaran projek pembinaan Masjid Al-Madaniah, Subang, Selangor.
Setiausaha MAIS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini dilaporkan berkata perkara itu susulan penularan video di TikTok yang mendakwa wujud tunggakan bayaran serta salah urus dalam institusi berkenaan.
Berita berkaitan
May 4, 2026, 6:21 pm
KKM mohon potongan bajet RM3.04 bilion dikaji semula demi rakyat
May 4, 2026, 6:05 pm
Klinik Kesihatan Manjalara bakal selesai masalah kesesakan pesakit di Segambut
May 4, 2026, 5:02 pm
Hentikan budaya mewah, Anwar arah kementerian jimat demi rakyat
May 4, 2026, 3:42 pm
Dua lelaki maut, Axia dan Kancil bertembung di Shah Alam
May 4, 2026, 3:31 pm
Sindiket pindah diesel haram dekat kubur Cina tumpas
May 4, 2026, 3:22 pm
Van persiaran terbabas di lebuh raya PLUS, sembilan cedera termasuk kanak-kanak
May 4, 2026, 3:01 pm
